Buat aduan di Helpdesk My Sejahtera, rujuk PPV

Iklan
Maklumat vaksinasi di aplikasi MySejahtera akan dikemas kini secara automatik setelah maklumat individu itu dimuat naik secara lengkap.

KUALA LUMPUR - Individu yang mempunyai masalah teknikal berkaitan rekod vaksinasi dos penggalak Covid-19 di aplikasi MySejahtera perlu membuat aduan melalui aplikasi itu atau mengunjungi semula lokasi mereka menerima vaksin bagi mendapatkan bantuan lanjut.

Ketua data di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC), Dr Mahesh Appannan berkata, individu yang sudah menerima dos penggalak tetapi paparan Mysejahteranya menunjukkan sebaliknya boleh diselesaikan.

Iklan
Iklan

"Sebenarnya kalau kita sudah dapat data tersebut, kita akan uruskan secepat mungkin. Itu yang saya sarankan kalau boleh semua yang tiada maklumat booster (penggalak) dalam telefon mereka, mereka boleh pergi ke bahagian Helpdesk (MySejahtera) dan isi ‘option M’.

"Dalam masa lima hari, akan ada (bantuan Helpdesk) tetapi ini tertakluk kepada maklumat yang mereka isi kerana ini merupakan sistem blockchain, kalau maklumat disalurkan tidak tepat memang tidak akan diproses," katanya kepada Bernama.

Iklan

Beliau berkata, maklumat vaksinasi individu di aplikasi MySejahtera akan dikemas kini secara automatik setelah maklumat individu itu dimuat naik secara lengkap oleh pekerja di klinik atau pusat pemberian vaksin (PPV).

Menurutnya, perkhidmatan vaksinasi secara jumpa terus dan janji temu dos penggalak Covid-19 juga masih mengikut konsep yang sama iaitu individu perlu mengimbas maklumat di kaunter sebelum proses vaksinasi berlaku bagi mendapatkan sijil vaksinasi digital lengkap dalam aplikasi MySejahtera.

Iklan

Dr Mahesh berkata, dos penggalak diperoleh secara berbayar di klinik tertentu tidak termasuk di bawah pengawasan MySejehtera.

Beliau memberitahu, maklumat akan dikemas kini lewat sedikit dalam MySejahtera setelah mendapat maklumat daripada pihak tersebut.

"Sekarang ramai yang dapat booster secara berbayar jadi mereka menggunakan sistem lain, tidak terus masuk dalam Mysejahtera.

"Buat masa sekarang, klinik-klinik berkenaan haruslah menggunakan program sistem vaksin kebangsaan Covid-19 iaitu Malaysian Vaccine Administration System (MyVAS).

"Pengurusan (klinik) akan kumpul dahulu data baru akan beri kepada pihak Mysejahtera untuk kita memuat naik dalam sistem (Mysejahtera). Kalau mereka tidak menggunakan sistem itu memang tidak keluar sijil mereka di Mysejahtera," katanya.

Pada Selasa, media tempatan melaporkan mengenai pengguna yang terkejut apabila butiran dos penggalak mereka hilang daripada sijil vaksinasi digital Mysejahtera.

Ada juga yang menerima janji temu suntikan penggalak sekali lagi walaupun telah menerima suntikan itu.

Seorang pengguna akaun Twitter 'Armzaniza' dalam ciapannya memaklumkan bahawa beliau telah mendapat dos penggalak sebulan lepas namun masih belum menerima sijil dos itu walaupun pelbagai usaha bagi menyelesaikan isu berkenaan telah dilakukan.

"Sudah sebulan tidak menerima sijil dos penggalak. Sudah e-mel, sudah pelbagai cara tapi no respond," katanya.

Sementara itu, Tracy Abdul Gapar, 40, berkata, dia mendapat janji temu dos pengalak Covid-19 dan telah mendapatkan suntikan dos itu pada 21 Januari lepas.

Bagaimanapun katanya, maklumat mengenai suntikan dos itu belum dikemas kini dalam MySejahtera sehingga ke hari ini sebaliknya yang berlaku dia diberi janji temu kedua dalam aplikasi itu semalam.

"Saya sudah buat aduan di Helpdesk namun sehingga kini masih belum ada respons daripada pihak Mysejahtera. Saya belum menolak untuk temu janji kali kedua untuk dijadikan bukti yang saya ada menerima (janji temu kedua)," katanya.

Beliau juga risau pergerakannya akan terhad kerana ketiadaan sijil digital dos penggalak berkenaan meskipun dia sudah mengambil dos itu namun maklumat itu belum dikemas kini di aplikasi MySejahtera.

Sebelum ini dilaporkan, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberi peringatan agar semua penduduk berusia 60 tahun dan ke atas atau penerima dos lengkap vaksin Sinovac berusia 18 tahun dan ke atas perlu mengambil suntikan dos penggalak bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap sebelum 1 Mac depan. - Bernama