IPOH - PKR Perak mahu Ketua Pembangkang negeri itu, Datuk Saarani Mohammad segera menghentikan segala spekulasi terhadap khususnya berhubung kestabilan pentadbiran kerajaan negeri.
Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Perak, Tan Kar Hing berkata, segala spekulasi berkenaan nyata tidak membawa sebarang faedah melainkan ia bakal menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pelabur serta rakyat di negeri ini.
"Kami tunggu seminggu kerana kami nak lihat sejauh mana Ketua Pembangkang yang juga Pengerusi UMNO Negeri Datuk Saarani, kata kerajaan negeri tak stabillah, angkat sumpahlah, perdana menteri restu tukar menteri besarlah.
"Masa membuktikan bahawa semuanya hanyalah penipuan dan spekulasi oleh ketua pembangkang. Ia bermusim, setiap kali menjelang Sidang DUN pasti ada saja perkara yang ditimbulkan. Jika masih ingat, pada sidang DUN yang pertama, kedua dan kini menjelang persidangan yang dijadualkan 16 April ini.
"Sekali lagi kita nak tegaskan bahawa pentadbiran PH di Perak adalah stabil dan kita akan terus menyokong kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk terus menerajui kepimpinan,” katanya pada sidang media hari ini.
Dalam pada itu, Kar Hing berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah berhubung kerjasama Pas dan UMNO, namun ia dilihat agak sukar terutama dari segi pembahagian kerusi kedua-dua parti berkenaan.
Kedua-dua parti perlu menyelesaikan masalah berkenaan terutamanya di kerusi mana Pas bertanding dan di kerusi mana UMNO bertanding.
"Jika betul ikhlas, bagaimana nak selesaikan isu kerusi? Pada PRU14 Pas bertanding 44 kerusi dan menang tiga kerusi manakala UMNO bertanding 38 kerusi dan menang 27 kerusi. Cuma persoalannya, apakah Pas yang bantu UMNO atau UMNO bantu Pas?,” katanya.
Sementara itu ADUN Kuala Kurau Abdul Yunus Jamhari berkata, pihaknya akan tetap terus menyokong kepimpinan menteri besar.
"Kami akan terus berdiri teguh di belakang Ahmad Faizal sebagai menteri besar dan juga kerajaan PH,” katanya.