Malaysia dihalang hantar Mohamed Khairuzzaman ke Bangladesh

Iklan
Mohamed Khairuzzaman

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, membenarkan perintah penggantungan sementara bagi menghalang kerajaan Malaysia menghantar pulang bekas Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia, Mohamed Khairuzzaman ke negara asalnya.

Ia selepas Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan Mohamed Khairuzzaman selaku pemohon, sehingga permohonan habeas corpus (penahanan salah) difailkannya bagi mencabar penahanan diputuskan Mahkamah Tinggi.

Iklan
Iklan

Semasa prosiding, peguam Edmund Bon yang mewakili Mohamed Khairuzzaman berkata, perintah ini penting kerana dikhuatiri anak guamnya akan dihantar pulang sebelum habeas corpus yang dijadualkan untuk didengar pada 20 Mei depan.

"Saya harap JIM tidak mengambil tindakan sendiri,” katanya ketika prosiding.

Iklan

Dalam prosiding pada Selasa, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Wong Siew Mun yang bertindak bagi pihak Menteri Dalam Negeri, Ketua Pengarah Imigresen dan Kerajaan Malaysia yang dinamakan selaku responden.

Pada 10 Februari lalu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin mengesahkan Mohamed Khairuzzaman ditahan pihak berkuasa negara ini.

Iklan

Beliau berkata, tindakan berkenaan diambil mengikut prosedur perundangan sedia ada tanpa mendedahkan tangkapan itu dibuat atas kesalahan apa.

Sebelum ini, media melaporkan, Mohamed Khairuzzaman, 70, didakwa tinggal di negara ini sebagai pelarian dan ditahan ketika berada di rumahnya di Ampang pada 9 Februari lalu dan dijangka dihantar pulang ke Bangladesh.

Mohamed Khairuzzaman merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).