SHAH ALAM - Pengumuman kepimpinan tertinggi UMNO untuk meletakkan lebih ramai calon baharu dan berpengalaman diyakini memberi kemenangan kepada parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, calon anak muda yang dijanjikan untuk menjadi calon juga dilihat berpotensi membawa kestabilan politik di negeri itu.
"Antara faktor lain yang boleh menjadikan kemenangan besar buat Barisan Nasional (BN) Johor adalah kekurangan calon-calon Pakatan Harapan (PH) yang berkaliber dan pergolakan perebutan kuasa di dalam PH dan juga Perikatan Nasional (PN).
"Ditambah pula dengan sikap Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang hipokrit dan masih tidak matang dalam mengeluarkan kenyataan semasa serta janji manifesto yang membuatkan rakyat Johor menyampah sekali gus tidak lagi termakan dengan janji-janji manis PH dan PN," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu Muhamad Muqharabbin turut berharap rakyat Johor bijak memilih dan mengundi demi sebuah kemakmuran bangsa, kestabilan ekonomi selain membantu BN memenangi PRN Johor nanti.
"Saya percaya UMNO dan BN telah banyak berubah dan belajar daripada kelemahan dan kekalahan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
"Saya sebagai Pemuda UMNO berdoa dan memohon agar kepimpinan atasan dapat meletakkan calon-calon muda yang berwibawa terutamanya 26 sahabat-sahabat Ketua Pemuda Bahagian di Johor bersama gandingan muka lama yang berpengalaman dalam menarik sokongan rakyat," katanya.