SABAK BERNAM - Seorang mangsa lemas di kawasan rekreasi Air Terjun Batu Berangkai dekat perkampungan orang asli di Kampar pada Selasa seolah-olah tahu petanda ajalnya hampir tiba apabila sempat mengemas rumah sehari sebelum kejadian meragut nyawanya.
Kakak mangsa, Siti Suzelawati Ma'asor, 38, berkata, Muhammad Amirul Hafidz Maasor, 20, berkelakuan pelik apabila bertungkus-lumus mengemas rumah ibunya seolah ingin menyambut kehadiran 'tetamu'.
"Selama ini, apabila saya suruh bersihkan rumah, arwah macam tidak ambil peduli, tapi semalam (Isnin) perlakuannya pelik seolah ada tetamu yang ingin datang.
"Kami tak sangka rupanya bukan sahaja tetamu datang ke rumah, malah kami menyambut kepulangan jenazah arwah buat kali terakhir," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumah ibunya di Kampung Parit Baru di sini pada Selasa.
Siti Suzelawati berkata, pemergian Muhammad Amirul amat dirasai apatah lagi adiknya itu disifatkan seorang yang berperibadi baik dan mendengar kata.
Katanya, sebelum kejadian itu, Allahyarham adiknya itu sempat meminta maaf pada ibunya, Normah Sharif, 59.
"Ibu beritahu arwah sempat memeluk dan menciumnya sambil memohon maaf dan meminta ibu mengampunkan segala dosanya sebelum bertolak ke Perak.
"Walaupun reda, tetapi kami memang rasa sedih atas kehilangan Muhammad Amirul dan seolah-olah tidak percaya arwah sudah pergi buat selamanya," ujarnya.
Katanya, kejadian lemas yang meragut nyawa Muhammad Amirul itu diketahuinya sewaktu ingin bersiap untuk mengajar di sebuah sekolah rendah agama di sini kira-kira jam 12 tengah hari pada Selasa.
"Adik perempuan hubungi saya maklumkan Muhammad Amirul sudah tiada dan sebaik mengetahui kejadian itu seluruh jiwa saya rasa terkejut.
"Saya hanya mampu berdoa agar segalanya dipermudahkan dan adik ditempatkan dalam kalangan orang beriman," ujarnya.
Katanya, jenazah Muhammad Amirul dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Batu Baroh selepas selesai urusan bedah siasat.
Muhammad Amirul dan seorang lagi rakan baiknya, Muhammad Fikri Adam Azmi, 20, ditemui lemas di kawasan rekreasi Air Terjun Batu Berangkai dekat perkampungan orang asli di Kampar.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, kejadian berlaku ketika dua mangsa maut bersama dua lagi rakan mereka melakukan aktiviti berkelah di air terjun berkenaan.