SHAH ALAM - Krisis kepimpinan dalam lingkungan geopolitik hari ini memerlukan satu perubahan berimpak tinggi terhadap usaha pemulihan struktur tadbir urus dan akauntabiliti negara.
Rasuah Busters dalam satu kenyataan bersama rakan gabungannya berkata, defisit kepercayaan terhadap tahap integriti telah menimbulkan persepsi negatif rakyat dan dunia terhadap Malaysia.
Katanya, isu seumpama itu tentunya memerlukan solusi strategik, sekali gus Rasuah Busters bersama rakan gabungan melihat bahawa golongan muda adalah 'akar' kepada jalan penyelesaian terbaik permasalahan krisis kepimpinan negara.
Menurut kenyataan itu lagi, golongan muda pastinya mampu membawa karakter yang jauh lebih kompetitif, progresif, berinovatif dengan semaian akhlak terpuji, mempunyai nilai serta maruah yang tinggi bagi memacu transformasi negara.
"Justeru, rakyat Malaysia diseru untuk bangkit memperkasakan dan menjadi sistem sokongan agar anak muda diberi peranan dalam mencorak model Malaysia yang lebih stabil dan kukuh daripada aspek politik, ekonomi dan sosial.
"Undi 18 yang meletakkan kuasa mengundi kepada golongan muda termasuk para pelajar wajar dijadikan peluang untuk menolak kepimpinan toksik dan rasuah daripada terus memusnahkan masa depan generasi mendatang.
"Seharusnya golongan muda perlu tampil sebagai barisan hadapan kepimpinan negara untuk terlibat dalam proses penetapan polisi serta penggubalan undang-undang, seterusnya mengemudi kumpulan pentadbiran bagi mencorak masa hadapan negara yang lebih gemilang," kata kenyataan itu pada Selasa.
Kata kenyataan itu, landskap politik, ekonomi dan sosial negara mampu diperkasakan selaras kepantasan arus dunia menerusi penglibatan langsung golongan muda.
Jelasnya, usaha itu mampu diterjemahkan melalui ideologi yang digarap daripada hasil-hasil kajian akademik, pembaharuan teknologi, kapasiti tenaga dan keupayaan anak muda dalam membentuk inisiatif pembaharuan sosial yang lebih komprehensif.
Tambahnya, ketokohan dan potensi kepimpinan golongan muda yang dinamik berupaya melahirkan sebuah lingkaran kumpulan pengaruh yang besar untuk sebuah solidariti perubahan demi kesejahteraan negara.
Tegas kenyataan itu, bagi mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang disasarkan menjelang 2030, golongan muda juga harus berani untuk tampil dalam proses advokasi hak-hak bagi menjamin kualiti pendidikan, kesihatan, alam sekitar serta jaminan peluang pekerjaan bagi kemampanan ekonomi dan sosial.
"Anak muda bangkit bukan retorik. Ia adalah jaringan ekosistem yang amat signifikan. Pensejajaran misi secara berterusan bersama golongan muda bakal menentukan hala tuju kemajuan yang selari dengan kebangkitan #NilaiMoralKarakterBangsa agar negara ini bebas daripada kemelut ketidakstabilan politik dan permasalahan rasuah.
"Sebagai aset penting negara, komitmen bersepadu golongan muda adalah sinar harapan untuk lahirnya negara yang progresif, telus, dan jujur.
"Tindakan hari ini adalah penentu selamat atau sengsaranya rakyat. Mulakan dengan memilih pemimpin yang tidak rasuah. Jangan biarkan perasuah merampas masa depan anak muda Malaysia," katanya.