Bapa cedera dipukul anak tiri

Iklan
Seorang bapa mengalami bengkak di telinga kiri akibat ditumbuk anak tiri lelaki dalam kejadian di Kampung Ruat, di sini, kira-kira jam 8.30 pagi pada Selasa. - Gambar hiasan

YAN - Seorang bapa mengalami bengkak di telinga kiri akibat ditumbuk anak tiri lelaki dalam kejadian di Kampung Ruat, di sini, kira-kira jam 8.30 pagi pada Selasa.

Selain itu, mangsa berusia 72 tahun turut mendakwa ditumbuk di kepala dan ditendang di bahagian dada serta muka oleh anak tiri berusia 29 tahun dipercayai akibat tidak diberikan wang untuk mendapatkan bekalan dadah.

Iklan
Iklan

Ketika kejadian, mangsa bersama isteri berada dalam rumah sebelum didatangi suspek dan mengamuk.

Video berdurasi 30 saat yang merakamkan perbuatan suspek kini tular di media sosial sehingga meraih lebih 190,000 tontonan dan 6,000 komen.

Iklan

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, hasil siasatan awal mendapati, kejadian dikatakan bermula di bahagian ruang tamu rumah.

Menurutnya, suspek telah masuk ke dalam rumah untuk meminta wang namun mangsa enggan menuruti kehendaknya.

Iklan

"Akibat rasa marah, suspek dipercayai tumbuk di bahagian belakang kepala sebelah kiri menyebabkan telinga kiri mangsa sakit. Kejadian menyebabkan mangsa dan isteri keluar dan duduk di bahagian luar rumah.

"Namun, ketika suspek ingin keluar dari rumah, dia dipercayai menendang bahagian belakang badan bapa tiri itu dengan memakai kasut getah,"katanya.

Menurut Shahnaz, doktor yang merawat mangsa mengesahkan warga emas itu mengalami bengkak di bahagian telinga kiri akibat ditumbuk.

Suspek bagaimanapun berjaya diberkas pada jam 6.45 petang di kawasan Lubuk Boi, Yan untuk siasatan lanjut.

Jelasnya, maklumat diperolehi mengesahkan suspek seorang pesakit mental dan merupakan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU).

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan/18A Akta Keganasan Rumah Tangga 2012.