KUALA LUMPUR - Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar mengadakan kunjungan hormat ke atas rakan sejawat dari Republik Czech, Martin Tlapa di Praque pada 14 Februari.
Agenda perbincangan antara lain termasuk langkah ke arah pengukuhan hubungan dua hala dalam pelbagai bidang terutamanya ekonomi, pelaburan, pendidikan dan pelancongan.
Menurut kenyataan Kementerian Luar, Kamarudin menyambut baik cadangan agar kedua-dua negara mempertingkatkan lagi kerjasama dua hala dalam bidang perdagangan.
Beliau juga mengalu-alukan rancangan lawatan delegasi pelaburan Republik Czech ke Malaysia dalam masa terdekat.
Kedua-dua pemimpin turut bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa seperti kerjasama antara Malaysia dan Republik Czech menerusi platform ASEAN dan Kesatuan Eropah serta perkembangan semasa di Afghanistan dan Myanmar.
Malaysia dan Republik Czech mempunyai hubungan dua hala yang baik dan mesra.
Pada 2021, kedua-dua negara menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik.
Nilai dagangan dua hala antara kedua-dua negara pada 2021 adalah berjumlah RM4.51 bilion, dengan nilai eksport sebanyak RM3.29 bilion dan nilai import RM1.22 bilion.
Malaysia merupakan rakan dagang terbesar Republik Czech dalam kalangan negara anggota ASEAN.
Kamarudin dalam rangka lawatan kerja ke Republik Czech, Austria, Poland dan Perancis dari 13 hingga 23 Februari. - Bernama