KUALA LUMPUR - Syarikat bioteknologi yang merintis terapeutik dan vaksin messenger RNA (mRNA), Moderna, Inc. pada Rabu mengumumkan rancangan untuk menubuhkan anak syarikat baharu di Malaysia, disertai tiga anak syarikat lain di Taiwan, Singapura dan Hong Kong.
Pengumuman tersebut mengukuhkan kehadiran sedia ada Moderna di rantau ini dengan pejabat di Jepun, Korea Selatan dan Australia selain menunjukkan komitmen berterusannya terhadap rantau Asia-Pasifik sebagai bahagian penting dalam strategi jangka panjang dan visi komersialnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Moderna, Stéphane Bancel berkata, anak syarikat itu akan membantu menyampaikan penyelesaian mRNA kepada rakyat Malaysia.
"Malaysia merupakan peserta yang semakin berkembang dalam industri farmaseutikal dan bioteknologi.
"Kami berharap dapat meneroka peluang kerjasama tempatan memandangkan Moderna sedang meluaskan jejaknya di rantau Asia-Pasifik. Saya teruja untuk membina pasukan yang kukuh, yang dapat memenuhi potensi serantau dan menyampaikan platform mRNA yang kami tawarkan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurut syarikat itu, rancangan untuk menubuhkan anak syarikat tempatan mencerminkan keyakinan pihaknya terhadap trajektori pertumbuhan semasa industri farmaseutikal dan kesihatan di Malaysia.
Ia menambah, Moderna juga terdorong dengan komitmen kerajaan tempatan terhadap penyelidikan dan pembangunan bioteknologi.
Moderna sedang aktif mengambil pekerja untuk membentuk pasukan bagi membina penyertaan yang kukuh dalam pasaran apabila pembekalan terapeutik mRNA syarikat berkembang, jelasnya.
Moderna menambah, pembekalannya adalah luas, merangkumi 40 program pembangunan dengan 25 daripadanya sedang berada di peringkat ujian klinikal.
Pihaknya terus mengemas kini strategi Covid-19 untuk menangani varian yang menjadi kebimbangan seperti Omicron di samping mempelopori vaksin dan terapeutik baharu untuk pelbagai penyakit dan keadaan, tambahnya.
"Moderna sedang membangunkan ubat-ubatan mRNA yang berpotensi mencegah dan merawat penyakit dengan keperluan ketara yang belum dipenuhi, merentasi penyakit berjangkit, imuno-onkologi, penyakit yang jarang dan amat jarang jumpa, serta penyakit autoimun,” menurutnya.
Moderna mempunyai operasi di 12 pasaran di seluruh dunia.
Pihak-pihak pengawal selia bagi lebih 70 pasaran telah meluluskan vaksin Covid-19 Moderna, termasuk sekurang-kurangnya 19 di rantau Asia-Pasifik.
Pada Ogos 2021, Kementerian Kesihatan Malaysia telah memberikan kelulusan bersyarat bagi vaksin Covid-19 Moderna untuk kegunaan kecemasan. - Bernama