KPDNHEP jamin kit ujian pantas RTK Antigen mencukupi di Melaka

Iklan
KPDNHEP Melaka memberi jaminan RTK Antigen Covid-19 mencukupi bagi kegunaan rakyat negeri itu. - Gambar hiasan

MELAKA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka memberi jaminan kit ujian pantas (RTK) Antigen Covid-19 mencukupi bagi kegunaan rakyat negeri itu di sebalik peningkatan kes Covid-19 ketika ini.

Pengarahnya Norena Jaafar berkata, permintaan terhadap kit ujian tersebut ketika ini meningkat secara mendadak sebagai langkah awal mencegah penularan varian Omicron dalam kalangan masyarakat.

Iklan
Iklan

"Hasil pemeriksaan dan pemantauan dijalankan Seksyen Penguatkuasa, KPDNHEP Melaka dari Sept 2021 hingga Jan 2022, sebanyak 1,148 premis yang menjual kit ujian pantas telah diperiksa dan tiada aduan diterima berkaitan bekalan mahupun harga jualan melebihi harga kawalan.

"Secara amnya rata-rata peniaga di Melaka menjual kit ujian pantas ini di bawah harga siling yang ditetapkan kerajaan iaitu RM19.90 seunit," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata ketika ini terdapat 100 jenama kit ujian pantas dijual di seluruh negara dengan harga terendah RM4.90 dan tertinggi (RM19.90) selaras dengan harga siling ditetapkan kerajaan.

Dalam perkembangan lain, Norena berkata sebanyak 6,203 premis perniagaan membabitkan peruncit, pemborong dan pengilang atau peladang telah diperiksa sejak 1 Jan hingga 14 Februari lepas.

Iklan

Beliau berkata selain itu, KPDNHEP Melaka telah menerima 91 aduan rasmi harga, dan sehingga semalam, sebanyak 75 kes dihasilkan melibatkan nilai rampasan berjumlah RM1,080.70 terdiri daripada semua akta undang-undang dikuatkuasakan KPDNHEP.

"Sebanyak RM12,100.00 kompaun dan RM90,000.00 denda dikeluarkan meliputi semua kesalahan yang diambil tindakan," katanya.

Sebarang pertanyaan atau aduan, orang ramai boleh menghubungi Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) KPDNHEP Melaka di talian 06-2345869 yang beroperasi setiap hari bermula 8 pagi hingga 6 petang atau Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) KPDNHEP Putrajaya di talian 03-88826088 yang beroperasi 24 jam. - Bernama