AEON laksana kenaikan gaji minimum RM1,500 bermula Januari lalu

Iklan
AEON Malaysia

SHAH ALAM - Rangkaian pasaraya AEON CO. (M) BHD dan AEON BiG (M) SDN BHD (AEON Malaysia) mengumumkan peningkatan gaji minimum bulanan pekerjanya daripada RM1,200 kepada RM1,500 berkuatkuasa 1 Januari 2022.

Ketua Pegawai Sumber Manusia dan Pengarah Komunikasi Korporat Aeon Co (M) Bhd dan Aeon BiG (M) Sdn Bhd, Dr Kasuma Satria Mat Jadi berkata, peningkatan itu membabitkan pekerja Gred G dan jumlah tersebut merupakan gaji pokok tidak termasuk elaun atau insentif lain.

Iklan
Iklan

"AEON Malaysia sentiasa mengutamakan kebajikan para pekerja dan menyambut baik saranan Kementerian Sumber Manusia.

"Sehubungan dengan itu, tarikh berkuatkuasa gaji minimum oleh AEON Malaysia adalah lebih awal dari tarikh yang disyorkan oleh pihak kerajaan iaitu sehingga hujung tahun 2022,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Kasuma berkata, langkah pelaksanaan peningkatan itu juga adalah selari dengan inisiatif kelestarian AEON Sayap Bagimu yang berobjektifkan untuk memberi peluang, dorongan serta sokongan kepada pemegang taruh khususnya mereka yang memerlukan.

"Keputusan yang diambil adalah berlandaskan kepada keprihatinan kami terhadap kebajikan mereka bagi membantu meringankan kos kehidupan yang dihadapi serta mendokong saranan kerajaan yang kami sambut baik, justeru kami melaksanakannya secepat mungkin,” jelasnya.

Iklan

Untuk rekod, kali terakhir gaji minimum dinaikkan adalah pada 1 Februari 2020 iaitu kenaikan daripada RM1,100 ke RM1,200 sebulan ketika pembentangan Bajet 2020.