KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof hari ini mempengerusikan mesyuarat khas kedamaian antara kaum dan agama bertempat di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), di sini.
Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, perjumpaan itu sememangnya telah lama dirancang, namun ia akhirnya dapat direalisasikan pada hari ini ekoran insiden yang melibatkan dua buah masjid di Christchurch, New Zealand, 15 Mac lalu sehingga menyebabkan kematian.
"Mesyuarat julung kali diadakan ini dihadiri wakil daripada Jabatan Perpaduan serta Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman Dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA).
"Antara perkara penting diputuskan dalam mesyuarat yang berlangsung selama tiga ini adalah mengutuk serangan di Christchurch, dan menegaskan tiada agama yang suka pada perpecahan dan peperangan. Sebaliknya, semua agama cintakan kedamaian.
"Selain itu, mewujudkan lebih banyak ruang perbincangan dan komunikasi antara agama dengan menjadikan JKMPKA sebagai jawatankuasa induk dan JKMPKA bersama para badan bukan kerajaan (NGO) akan mengetuai himpunan Solidariti Kedamaian yang akan diadakan pada Sabtu, 23 Mac nanti," katanya.
Untuk rekod JKMPKA merupakan jabatan yang diletakkan di bawah Jabatan Perpaduan, Jabatan Perdana Menteri dan telah diwujud sejak 2010.
Terdahulu, dunia dikejutkan dengan tragedi tembakan di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood, Christchurch hingga meragut 50 nyawa, manakala puluhan lagi cedera.
Serangan itu dilakukan seorang lelaki warga Australia, Brenton Tarrant.