Seorang petani, Mohd Ayub Azmi, 26 memberitahu, keadaan hujan lebat tersebut memusnahkan tanaman tembikai di 14 hektar ladang yang diusahakan ayahnya, Azmi Yacob, 62 tahun.
"Saya terpaksa petik awal buah tembikai ini sebab takut semakin banyak yang rosak nanti. Tembikai yang ada masih belum matang tapi kami terpaksa kutip juga.
"Harga pun akan terjejas sebab kita jual yang masih belum masak sepenuhnya, namun apakan daya, jika tidak bertindak, kami akan berdepan kerugian yang lebih besar," katanya kepada pemberita, di sini, pada Rabu.
Seorang lagi petani, Safiah Mansor, 62 berkata, pihaknya tidak menyangka hujan berterusan itu menjejaskan tanaman mereka.
Katanya, tanaman yang diusahakan di atas tanah seluas dua hektar berkenaan sepatutnya hanya menunggu masa untuk dipetik, namun ia terlebih dahulu ditenggelami air sehingga 0.3 meter.
Insiden tersebut menyebabkan Safiah kerugian lebih RM40,000 dan kongsinya, kejadian seperti itu sudah tiga tahun tidak berlaku di kawasan berkenaan.
Sementara itu, Exco Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi Hijau dan Alam Sekitar, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail ketika dihubungi memberitahu, pihaknya ambil maklum mengenai perkara tersebut dan menunggu laporan daripada Jabatan Pertanian Negeri untuk menyalurkan sebarang bantuan.
Katanya, kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat ada menyediakan bantuan kepada petani yang terlibat dalam bencana yang menimpa projek ternakan atau pertanian.
"Saya akan turun padang melihat sendiri perkara ini dan kita akan bantu sebaik mungkin. Apa yang berlaku ini bukan kehendak kita, Insya-ALLAH akan ada bantuan susulan.
"Diharapkan semua yang terlibat dapat menyediakan maklumat lengkap bagi memudahkan lagi urusan bantuan nanti," katanya.
Tuan Saripudin juga berkongsi, dua jajahan utama iaitu Pasir Puteh dan Bachok sering berdepan masalah demikian berdasarkan lokasi tanaman mereka yang berdepan dengan risiko banjir dan juga kemarau.