GEORGETOWN - Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) melaksanakan penutupan sehari setiap bulan bagi membolehkan pemeriksaan dan penyelenggaraan perkhidmatan funikular dilaksanakan mulai tahun ini.
PBBPP dalam kenyataannya berkata, tumpuan akan diberikan kepada pemeriksaan keadaan semasa funikular dan menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan yang tidak dapat dijalankan semasa waktu operasi normal funikular.
"Penutupan sehari pada setiap bulan telah berjaya dilaksanakan pada 25 Januari lalu. Penutupan perkhidmatan funikular bulanan seterusnya adalah pada 22 Februari dan 23 Mac.
"Pengunjung boleh memilih untuk menggunakan perkhidmatan jip yang dikendalikan oleh Persatuan Penduduk Bukit Bendera atau menggunakan laluan mendaki untuk sampai ke puncak Bukit Bendera semasa tempoh penutupan," katanya pada Rabu.
Tambahnya, PBBPP berhak untuk melakukan sebarang perubahan terhadap waktu penyelenggaraan funikular pada bila-bila masa sekiranya perlu.
"Pengunjung dinasihatkan mengikuti akaun rasmi media sosial PBBPP (Facebook, Instagram dan Twitter) untuk mendapatkan maklumat terkini berkenaan tarikh penutupan termasuk penutupan sehari pada setiap bulan," katanya.
Dalam pada itu, PBBPP berkata, perkhidmatan funikular Bukit Bendera akan ditutup untuk penyelenggaraan berjadual dwi-tahunan kedua bagi tahun 2022 bermula 17 hingga 28 Mei ini dan perkhidmatan akan beroperasi seperti biasa bermula 29 Mei.
"Pemeriksaan berkala dan penyelenggaraan sistem funikular juga dilaksanakan setiap hari, mingguan dan bulanan. Selain itu, PBBPP turut menjalankan pemeriksaan rutin harian selepas tamat waktu operasi funikular Bukit Bendera.
"Penyelenggaraan dan pemeriksaan ini untuk memastikan sistem funikular sentiasa berada dalam keadaan terbaik dan menjalani pemeriksaan yang ketat.
"PBBPP sedang memantau situasi semasa Covid-19 dan berharap jurutera pihak pengeluar iaitu Garaventa AG dari Switzerland dapat menjalankan penyelenggaraan dwi-tahunan kedua pada Mei ini setelah negara pulih daripada penularan pandemik Covid-19," jelasnya.