ALOR SETAR - Gajah betina dianggarkan seberat dua tan yang ditemukan mati di tepi Jalan Empangan Pedu berdekatan Kampung Pinang, Pedu di Padang Terap pada Selasa disyaki termakan baja tumbuhan.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah, Jamalul Nasir Ibrahim berkata, ia berdasarkan pandangan fizikal pihaknya yang mendapati najis gajah itu berdarah.
Iklan
Iklan
"Namun, untuk kita tahu punca sebenar gajah ini mati sebab apa, perlu tunggu keputusan penuh daripada pasukan forensik ibu pejabat Jabatan Perhilitan. Sampel gajah ini telah diambil untuk siasatan lanjut dan dibawa ke makmal di Kuala Lumpur," katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.
Jamalul Nasir berkata pengamatan pihaknya di sekitar kawasan itu mendapati terdapat stor penyimpanan baja tidak teratur dan berisiko terdedah kepada haiwan yang berkeliaran di situ.
"Jadi, saya berharap petani dan penduduk di kawasan sekitar itu dapat memastikan stor penyimpanan baja sentiasa dalam keadaan teratur dan selamat supaya tidak memudaratkan haiwan," katanya.
Beliau berkata, bangkai gajah itu telah ditanam di satu lokasi berdekatan haiwan itu ditemukan mati kira-kira 8.30 malam tadi.
Pada Selasa, media melaporkan gajah itu ditemukan mati oleh penduduk yang keluar menoreh getah sebelum menghubungi Jabatan Perhilitan kira-kira 8.30 pagi untuk tindakan lanjut. - Bernama