Penjualan tiket VTL Malaysia-Singapura dibuka sepenuhnya

Iklan
Penjualan tiket bas dan penerbangan VTL Malaysia-Singapura dibuka sepenuhnya berkuat kuasa serta-merta. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Penjualan tiket bas dan penerbangan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) Malaysia-Singapura dibuka sepenuhnya berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, keputusan 100 peratus daripada kapasiti bas dan penerbangan itu dibuat berdasarkan penilaian risiko semasa serta persetujuan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Iklan
Iklan

"Penjualan tiket penerbangan akan dibuka dan berkuat kuasa serta-merta untuk perjalanan segera manakala bagi tiket bas perjalanan adalah bermula 22 Februari ini," katanya.

Menurutnya, inisiatif VTL itu telah berjaya meningkatkan jumlah pengendalian penumpang antarabangsa dan membantu meningkatkan sektor pelancongan dan ekonomi negara.

Iklan

"Sehingga 14 Februari, seramai 171,583 pengembara daripada Singapura telah memanfaatkan insiatif ini," katanya.

Beliau berkata, Malaysia dan Singapura sedang mengadakan perbincangan lanjut bagi memperluaskan laluan VTL udara ke Pulau Pinang dan Kota Kinabalu untuk dilaksanakan tidak lama lagi.

Iklan

"Dalam hubungan ini, MOT melalui Malaysia Airports Holdings Berhad sedang menyediakan fasiliti ujian saringan Covid-19 dan kemudahan-kemudahan yang berkaitan di lapangan terbang bagi menyokong pelaksanaan inisiatif tersebut kelak," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ka Siong berkata, inisiatif tersebut diharap dapat dimanfaatkan rakyat serta merancakkan sektor pelancongan dan seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi bagi kedua-dua negara.

"Dalam masa sama, semua pihak diingatkan supaya tidak alpa dan leka dalam mematuhi segala peraturan atau prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan demi kebaikan diri serta insan tersayang disekeliling," katanya.

Pada 21 Januari lalu, kerajaan kedua-dua negara membuka semula laluan VTL dengan kuota tiket yang dijual dikurangkan kepada 50 peratus atau separuh daripada kapasiti bas serta pesawat yang digunakan.

VTL Malaysia Singapura yang bermula pada 28 November lalu terpaksa ditangguhkan sementara pada 23 Disember berikutan kebimbangan jangkitan Covid-19 varian Omicron.