SHAH ALAM - Malaysia dan Rusia memulakan langkah dengan mengadakan perbincangan tentang kerjasama dalam bidang yang lebih luas untuk mengukuhkan lagi hubungan ekonomi dua hala.
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam perkongsiannya di Twitter berkata, pelbagai perkongsian menarik dibincangkan semasa kunjungan hormat Naiyl Latypov, yang juga Duta Besar Khas Persekutuan Rusia ke Malaysia.
Iklan
Iklan
"Kami (Malaysia) menyatakan keyakinan terhadap peluang besar yang akan dibentangkan kepada kedua-dua negara melalui Suruhanjaya Bersama Malaysia-Rusia bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Kebudayaan (JCESTC) serta Kumpulan Kerja Kerjasama Ekonomi dalam Industri dan Perdagangan, yang diketuai oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
"Ini akan membuka jalan bagi trajektori yang lebih tinggi dalam hubungan perdagangan dua hala dan akan memberi ruang untuk mempertingkatkan perkongsian perniagaan. Rusia juga mencadangkan untuk mewujudkan lebih banyak kumpulan kerja di kawasan tumpuan lain,” ciapnya.
Azmin turut berharap dapat mempengerusikan JCESTC kedua bersama Timbalan Perdana Menteri Rusia, Yury I Borisov.
Jelasnya, ia akan menjadi rangsangan kepada perkongsian dalam bidang aeroangkasa, peralatan farmaseutikal dan perubatan, pembinaan kapal, kimia dan kejuruteraan kuasa, sekali gus menyumbang kepada trajektori pertumbuhan kepada hubungan perdagangan dua hala.
Artikel Berkaitan