MOSCOW - Timbalan Duta Rusia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa ‘menyarankan’ pemimpin Barat supaya bertemu doktor kerana terlampau paranoia tentang kempen pencerobohan yang bakal dilancarkan Moscow ke atas Ukraine.
"Saya rasa mereka perlu berjumpa dengan doktor yang terbaik atau pakar dalam rawatan paranoia. Saya sangat syorkan mereka berbuat demikian,” sindir Dmitry Polyanskiy yang turut menafikan Rusia membuat rancangan serangan seperti didakwa Barat.
Menurutnya, penempatan pasukan tentera mereka di dalam wilayah Moscow tidak memberi ancaman kepada sesiapa pun.
"Saya tidak tahu jumlah sebenar mereka kerana terlalu banyak spekulasi tentangnya,” ujarnya ketika menjawab tentang angka sebenar penempatan pasukan tentera Rusia untuk tujuan latihan ketenteraan bersama sekutunya, Belarus yang telah mencetuskan kebimbangan banyak pihak.
Jelasnya lagi, latihan bersama Minsk akan tamat dalam tempoh seminggu manakala butiran tempoh masa latihan lain tidak diketahui oleh beliau.
Menjelang tarikh serangan pada Rabu seperti yang diuar-uarkan rangkaian media Barat, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov turut memberi sindiran kepada penduduk Ukraine yang terlampau taasub dengan propaganda tersebut.
"Adalah lebih baik mereka mengunci jam loceng untuk melihat sendiri jika peperangan benar-benar berlaku,” katanya dalam nada seloroh kepada agensi berita, RIA Novosti merujuk kepada laporan media Barat yang mendakwa kempen pencerobohan ke atas Ukraine akan bermula pada jam 3 pagi (waktu tempatan).
Difahamkan, beberapa rangkaian berita Barat terutamanya tabloid di Britain mendakwa serangan tersebut kononnya akan berlaku pada waktu tersebut seperti dinyatakan maklumat risikan Amerika Syarikat (AS).
Pada Jumaat lalu, laman berita di Jerman, Der Spiegel juga mendakwa Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan tentera Amerika telah memberi amaran kepada Berlin dan negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) tentang serangan akan tercetus pada Rabu.
Sejak beberapa bulan lalu, Barat telah mencetuskan panik sehingga mengeruhkan lagi krisis antara Rusia-Ukraine yang berlarutan sejak tahun 2014.
Kremlin berulang kali menegaskan ia tidak merancang untuk melancarkan serangan ke atas Kiev dan turut menyelar rangkaian media Barat kerana menyebarkan propaganda perang hingga menyebabkan ‘gelombang histeria’ di seluruh Eropah.
Pada bulan lalu, Setiausaha Majlis Keselamatan Kebangsaan Ukraine, Aleksey Danilov bagaimanapun memaklumkan beliau tidak berkongsi rasa ‘panik’ dicetuskan Barat yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sebab ‘geopolitik dan domestik’. - Agensi