SHAH ALAM - Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman mengakui hutang yang ditinggalkan kerajaan terdahulu menjadi salah satu punca kerajaan PH belum menunaikan semua manifesto yang dijanjikan.
Menurutnya, selain pengurusan yang belum mantap, hutang sangat besar terutama melibatkan kes yang ditinggalkan BN dahulu menjadi penyebab kerajaan PH perlu menunda janji mereka.
Tetapi bukan semua janji itu kita tidak tunaikan. Ia ada yang tunaikan dan ada yang dalam proses untuk ditunaikan.
"Saya yakin apabila sampai tempoh dapat bayar segala hutang di luar itu, sudah tentu wang yang ada boleh digunakan untuk tunaikan manifesto. Dan ada juga kejutan yang telah kita lakukan, contoh ambil alih tol dan cuba kurangkan kadar tol.
Dalam pada itu, mengulas mengenai kemenangan BN di PRK Dun Semenyih, sama ada dijangka atau tidak, bagi saya, ia pada awalnya telah dijangka oleh PH.
Semenyih memang kubu kuat BN sebelum ini, maka kemenangan parti itu di Semenyih sesuatu yang ada jangkaan di belakang ketika itu, kerana PRK itu bukan mudah untuk dihadapi.
Kita hadapi sentimen semasa yang kuat dan perkembangan politik tanah air terutama kerjasama oleh UMNO dan Pas.
Walau bagaimanapun, saya bersetuju PRK yang dilaksanakan perlu dijadikan fokus kepada pembangunan negara bukan dengan hanya berpolitik berpanjangan.
Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam menyifatkan kerajaan PH gagal dalam menguruskan ekonomi negara selepas mengambil alih pentadbiran daripada BN sejak 9 Mei tahun lalu.
"Ia terbukti apabila kewangan negara gagal dipulihkan sehingga kini meskipun pelbagai langkah drastik dilakukan, antaranya menghapuskan bantuan dan kemudahan yang diperkenalkan ketika di bawah pemerintahan BN sebelum ini.
Mereka (kerajaan PH) telah potong Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), bantuan kepada nelayan dihentikan dan beberapa Klinik 1Malaysia telah ditutup.
Mana hilangnya duit ini (hasil potongan terhadap pelbagai bantuan), kalau dihitung jumlahnya cukup tinggi.
Ia tidak lain adalah disebabkan kerana kerajaan gagal jaga ekonomi negara dan rakyat juga sudah dapat melihat (kegagalan kerajaan PH),” katanya.