ALOR SETAR - Kenyataan Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Muhammad Sanusi Md Noor bahawa Barisan Nasional (BN) tamak dan gila kuasa ketika kempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini adalah tidak berasas dan sengaja dilontarkan untuk memburuk-burukan BN.
Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, kenyataan Menteri Besar Kedah yang bersifat provokasi itu juga dikhuatiri bakal meruntuhkan Muafakat Nasional (MN).
"Beliau harus sedar bahawa lantikan beliau sebagai Menteri Besar secara percuma atas ketidakstabilan politik Pakatan Harapan (PH) selepas ‘katak-katak politik’ bergabung dan khianat,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Syed Mohd Johan Rizal berkata, sepatutnya Muhammad Sanusi berterima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang lompat parti termasuk dua ADUN BN yang memberi sokongan kepada beliau memegang kuasa di Kedah, bukan mencemar keharmonian pentadbiran yang wujud dalam kerajaan negeri dengan kenyataan kontroversi.
"Kenyataan Muhammad Sanusi itu ‘dayus’ kerana tidak berani berkata secara semuka kepada dua ADUN BN, sebaliknya ketika beliau berada di Johor.
"Jangan lupa, Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dimenangi PH atas tiket fitnah kepada BN, malah beliau menjadi Menteri Besar atas ketidaktabilan politik, bukan kekuatan Pas sendiri,” katanya.
Dalam masa sama, Syed Mohd Johan Rizal turut mencabar Muhammad Sanusi mengumumkan untuk menamatkan MN dan bubar DUN Kedah dengan segera sekiranya bermaruah.
"Tindakan Menteri Besar Johor bubarkan DUN adalah keputusan berani dan bertanggungjawab demi kestabilan politik, sedangkan beliau tidak menjamin BN akan kembali menang di Johor, namun sanggup korbankan jawatannya dan tidak dapat menjamin dirinya akan menang dan dilantik semula sebagai Menteri Besar,” katanya.
Ketika berkempen di PRN Johor, Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, formula untuk melihat kestabilan politik di Malaysia dan semua negeri adalah UMNO tidak lagi memerintah, dengan menjadikan Kedah sebagai contoh susulan hanya mempunyai dua ADUN BN.
Menurutnya, ia juga menggambarkan Pas lebih gemar bersama parti yang dipenuhi dengan pemimpin lompat parti atau ‘katak’ yang bersekongkol menipu rakyat.