Gelaran 'Premier' diguna hanya selepas diwarta

Iklan
Abdul Karim (gambar kecil) berkata, proses itu selari dengan proses perundangan biasa dalam pembentukan atau penggubalan undang-undang baharu.

KUCHING - Pertukaran gelaran jawatan ‘Ketua Menteri’ kepada ‘Premier’ perlu diwartakan terlebih dahulu sebelum digunakan walaupun telah diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Selasa.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan negeri, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, proses itu juga selari dengan proses perundangan biasa dalam pembentukan atau penggubalan undang-undang baharu.

Iklan
Iklan

"Dari segi perundangan kita perlu tunggu ia digazetkan (sebelum digunakan secara rasmi), kerana setelah undang-undang baharu dipersetujui di DUN ia perlu dibawa kepada Yang Dipertua Negeri.

"Selepas itu ia akan digazetkan dan baru boleh digunakan. Satu tarikh akan ditetapkan oleh kerajaan negeri untuk menetapkan bila gelaran itu boleh digunakan,” katanya ketika ditemui pemberita di bangunan DUN Sarawak di sini pada Rabu.

Iklan

Abdul Karim berkata, jawatan ‘Timbalan Ketua Menteri’ juga akan ditukar kepada ‘Timbalan Premier’ apabila undang-undang baharu itu diwartakan.

Pada Selasa, Rang Undang-undang Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 yang mengandungi klausa untuk menukar gelaran jawatan ‘Ketua Menteri’ kepada ‘Premier’ telah diluluskan DUN Sarawak.

Iklan

Rang undang-undang itu diluluskan dengan majoriti lebih dua pertiga apabila 67 ahli dewan menyokongnya dengan enam menentang.

Turut dicadangkan dalam rang undang-undang itu adalah gelaran ‘Menteri Muda’ dipinda kepada ‘Timbalan Menteri’. - Bernama