KUDAT - Dianggarkan lebih 50 rumah di perkampungan atas air musnah terbakar dalam kejadian di Kampung Landung Ayang, di sini, pada Rabu.
Bagaimanapun, dalam kejadian yang bermula kira-kira jam 4 petang itu, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.26 petang.
Katanya, seramai 15 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat dan Kota Marudu dikerah ke lokasi kejadian bersama dua jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS).
"Kebakaran melibatkan rumah atas air. Operasi memadam kebakaran dilakukan ketika ini dan api masih belum dapat dikawal sepenuhnya.
"Setakat jam 7 malam, dianggarkan lebih 50 rumah musnah terbakar," katanya ketika dihubungi, pada Rabu.
Katanya, operasi pemadaman itu juga turut dilakukan dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
"Maklumat akan dikemas kini dari masa ke masa," katanya.