SHAH ALAM - Malaysia belum mencapai kematangan politik jika individu khususnya mereka yang lompat parti dan tidak mementingkan kebajikan rakyat masih diangkat sebagai pemimpin.
Penganalisis politik, Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, kematangan itu perlu dilihat berdasarkan pemilihan masyarakat kepada pemimpin yang akan menerajui negara dan sekiranya pemimpin tidak bertanggungjawab dan berpendirian tegas dalam politik dipilih, maka kematangan itu masih lagi jauh untuk dicapai.
"...yang jadi masalah bila di kalangan ahli politik yang lompat parti dan bermasalah dipilih lagi oleh parti politik untuk menerajui kepimpinan politik pada masa akan datang.
"Bagi saya kalau kita nak cakap berkenaan matang, maka jauh lagi kalau masih ada sikap yang sedemikian," katanya pada program Kompas Rasuah Busters bertajuk 'Undi 18 Jadi Rebutan, Jangan Sampai Sogok' pada Rabu.
Program tersebut dikendalikan oleh Ismail Adnan selaku moderator dan disiarkan di semua platform media sosial Sinar Harian.
Beliau turut menjelaskan, sikap tuduh-menuduh antara satu sama lain juga tidak selesai dari dahulu sehingga sekarang sehinggakan segelintir ahli politik tidak mampu menggunakan Parlimen sebagai medium untuk menyelesaikan dan berbincang isu rakyat dengan baik disebabkan sikap ahli politik yang mementingkan diri sendiri.
Menurutnya, isu-isu dibangkitkan dilihat tidak menumpukan untuk menangani isu rakyat sebaliknya lebih mengutamakan kepentingan lain.
"Dia bukan berjuang untuk rakyat tetapi untuk kepentingan yang tidak sepatutnya dibincangkan di Parlimen. Jadi kalau begitu ke mana hala tuju politik Malaysia pada masa akan datang?" soalnya.
Dalam masa sama beliau berkata, perkembangan politik dalam negara turut dilaporkan media massa termasuk pendedahan sikap ahli politik yang bertindak sedemikian dan tidak seharusnya dipilih oleh golongan muda.
"Sikap seperti ini dilihat tidak sihat dan dimainkan oleh media kepada seluruh masyarakat.
"Ia adalah sikap yang tidak sepatutnya orang muda ambil sebagai pemimpin akan datang. Contoh itu jelas yang kita boleh tengok pada hari ini,” ujarnya.