‘Ujian Covid-19 jadikan lebih syukur nikmat pinjaman nyawa’

Iklan
Hussamuddin (kanan) berkongsi kisah pada Program Jom Mengaji Sebelum Tidur: Surah Al-Sajdah yang berlangsung secara dalam talian pada malam Rabu.

SHAH ALAM- Pengalaman bertarung nyawa kerana menghidap Covid-19 tahap lima membuatkan Datuk Dr Hussamuddin Yaacub lebih menghargai dan mensyukuri nikmat nyawa yang diberikan Ilahi.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf berkata, berada 16 hari di hospital, termasuk lima hari di Unit Rawatan Rapi (ICU) menyebabkannya pasrah bahawa semua kebergantungan adalah kepada ALLAH SWT.

Iklan
Iklan

"Apabila saya mendengar tadabbur Surah Al-Sajdah, saya rasakan ia dekat apabila mendengar tentang pinjaman nyawa dan bersyukur. Sebagai alumni Covid-19 tahap lima, saya melalui satu proses, yang mana saya betul-betul menghargai nyawa yang dipinjamkan dan saya bersyukur dengan apa jua nikmat yang diberikan ALLAH kepada saya.

"Paras oksigen pada satu tahap sampai 40 peratus dan dengan bantuan pernafasan, saya sudah pasrah. Kalau Tuhan ambil nyawa, saya reda dan kalau diberi peluang kedua, saya bersyukur.

Iklan

"Apa yang telah berlaku menyebabkan saya lebih menilai erti syukur dan menghargai, menerima serta memahami kita adalah ciptaan Tuhan dan setiap benda kita harus bersyukur. Apabila ada peluang, kita harus buat yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu sesi perkongsian pada Program Jom Mengaji Sebelum Tidur: Surah Al-Sajdah yang berlangsung secara dalam talian melalui platform Zoom dan Facebook TickTalk TV, QuranHour dan Sinar Harian pada malam Rabu.

Iklan

Program Jom Mengaji Sebelum Tidur: Surah Al-Sajdah yang berlangsung secara dalam talian pada malam Rabu.

Turut serta, Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah dan Konsultan Psikologi Organisasi, Dr Azizi Alias.

Program itu dikendalikan moderator, Muhammad Iqbal Rosdi yang juga Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Sajdah yang dipimpin oleh Penyelia R&D Departmen Quran Cordoba Indonesia, Ustaz Cep Ma’mum dan Editor Kanan Penerbitan al-Quran Karya Bestari, Ustaz Amiro Safwan Mohd Kamil serta Qari TickTalkTV, Halim Zainudin manakala sesi tadabbur pula disempurnakan oleh Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail.

Program Jom Mengaji Sebelum Tidur (JMST) merupakan sebuah inisiatif awal menuju misi Surah Al-Sajdah, surah pilihan bagi 2022 dengan membawa tema #MalaysiaBersujud dan #DuniaBersujud.

Hussamuddin menjelaskan, apabila kesihatannya kembali pulih, dengan semangat yang baharu, beliau memikirkan lebih banyak idea yang ingin direalisasikan melalui Yayasan Warisan Ummah Ikhlas.

"Saya tahu, kita boleh membuat lebih banyak kebaikan melalui yayasan ini kerana walaupun kita rasakan kita sudah buat sesuatu tapi ia masih belum cukup.

"Saya tidak fikir lain, hanya bertekad untuk kembali melakukan lebih daripada apa yang sudah saya lakukan,” ujar beliau.