Kecewa bekas teman wanita ada kekasih baru

Iklan
Orang ramai yang berada di lokasi kejadian di Jambatan Jalan Kampung Syed Omar Bintong, Kangar membantu menenangkan mangsa kebakaran dan membuat panggilan kecemasan pada malam Rabu.

KANGAR - Kecewa dengan tindakan bekas teman wanita yang mempunyai kekasih baru didakwa menjadi punca seorang lelaki membakar dirinya di atas Jambatan Jalan Kampung Syed Omar Bintong, dekat sini pada malam Rabu.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, keluarganya telah tampil memberikan keterangan dan menjelaskan mangsa merupakan seorang pesakit psikiatri yang masih menerima rawatan sebagai pesakit luar di Jabatan Psikiatri Hospital Tuanku Fauziah (HTF).

Menurutnya, lelaki berusia 28 tahun itu pernah beberapa kali cuba membunuh diri dan kejadian pertama pada Januari lalu di mana mangsa pernah mengelar kedua-dua belah tangan namun berjaya diselamatkan oleh keluarga mangsa.

Iklan

"Pasukan doktor yang merawat mangsa di kawasan merah Jabatan Kecemasan dan Trauma HTF mendapati mangsa mengalami lecur pada badan sebanyak 96 peratus.

"Mangsa masih berada di kawasan merah dan dilaporkan dalam keadaan kritikal. Dia sedang menerima bantuan pernafasan," katanya dalam satu kenyataan pada pagi Khamis.

Iklan

Dalam kejadian kira-kira 9.40 malam itu, orang awam yang berada di lokasi kejadian telah menenangkan dan menyelamatkan mangsa dengan menghubungi ambulans sebelum lelaki itu dihantar ke Jabatan Kecemasan dan Trauma HTF untuk mendapatkan rawatan.

Foto Bomba Perlis

Mengulas lanjut, Wari juga berkata, bapa mangsa memberitahu mangsa juga cuba memakan racun tikus semasa berada di dalam tandas rumahnya pada Selasa lalu dan semua tindakan ini disebabkan rasa kecewa terhadap bekas kekasihnya.

Menurutnya, sebelum kejadian tersebut, bapa mangsa memaklumkan lebih kurang 8.45 malam ketika berada di rumah, mangsa memberitahu telah terminum petrol.

"Kemudian mangsa telah keluar daripada rumah membawa satu botol berisi petrol yang diambil daripada motosikalnya dan menaiki kereta jenis Perodua Axia. Mangsa memaklumkan ingin pergi ke kaki bukit untuk memesin rumput rumah datuknya.

"Bapa pengadu berasa curiga dan terus ke balai polis untuk membuat laporan kerana percaya mangsa cuba membunuh diri. Apabila sampai di Balai Polis Kangar, polis memaklumkan telah menjumpai sebuah kereta dalam keadaan terbakar dan kenderaan itu disahkan bapa mangsa semasa tiba di tempat kejadian," ujarnya.

Tambah Wari, bahagian forensik bomba dan penyelamat akan ke lokasi kejadian pada Khamis bagi mengesan punca kebakaran.

"Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan," katanya.


Mereka yang memerlukan sokongan boleh menghubungi befrienders.org.my/centre-in-malaysia atau hubungi talian hotline Befrienders (03-7627 2929); Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (03-2935 9935 atau 014-322 3392); Talian Kasih (15999) dan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (03-77825499)