CHRISTCHURCH-NEW ZEALAND. Seorang kanak-kanak nyata menyentuh hati netizen apabila meminta jambangan bunga dan menolak hadiah sebuah komputer riba untuk memperingati mangsa peristiwa serangan rambang di dua masjid di Christchurch, New Zealand.
Kisah itu dimuat naik oleh bapanya, Samuel Sen di Facebook kerana terharu dengan sikap anaknya, Darsh yang berusia sembilan tahun.
Kata Samuel, dia berniat untuk menghadiahkan komputer riba sebagai hadiah hari jadi kepada anaknya.
"Saya ingin membuat kejutan dengan memberikan hadiah komputer riba, sebaliknya dia pula yang memberi kejutan.
"Saya ada tanya kepadanya, dia mahu apa sebagai hadiah hari jadi. Dia menjawab bunga, saya terdiam, dan bertanya semula 'mengapa bunga?'.
"Dia menjawab, bunga itu hendak di bawa ke masjid sebagai memperingati mangsa serangan di masjid itu. Saya terkejut dan tidak tahu apa ingin dikatakan," katanya.
Malah anak itu juga meminta bapanya mendermakan wang untuk membeli komputer riba kepada keluarga mangsa.
Penularan kisah murni itu nyata mendapat pujian dari netizen.
Status Facebook itu meraih lebih 16,000 tanda suka dan lebih 1,500 maklumbalas dari netizen.
Fadilla Salleh, berkata,"Moga Darsh dilindungi, selamat hari jadi sayang".
Bagi Shama Jayman Fernando,"Selamat hari jadi, Darsh adalah contoh terbaik dan syabas kerana memiliki nilai-nilai kemanusiaan".