'Kami tidak sedar kami cedera'

Iklan
Shafien (kiri) bertanya khabar anggotanya yang tercedera dalam insiden berkenaan.

TUMPAT -"Saya tidak sedar tangan sudah berlumuran darah sebab ketika itu hanya fikir mahu berkas suspek sahaja. Selepas berjaya tangkap suspek baru sedar yang kami semua cedera," cerita Lans Koperal Mohamad Anuar Saidi Azmi.

Mohamad Anuar ialah salah seorang anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat yang tercedera dalam satu insiden pergelutan pada Sabtu lalu.

Iklan
Iklan

Empat anggota dari BSJ IPD Tumpat Sabtu lalu dilaporkan cedera di beberapa bahagian badan apabila bergelut dengan seorang suspek yang dipercayai kurang siuman dan di bawah pengaruh dadah di sebuah rumah di Kampung Sedar, di sini.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, dua pegawai berpangkat Inspektor dan Lans Koperal cedera di kepala dan beberapa bahagian anggota badan akibat ditetak dengan parang serta kerambit oleh suspek.

Iklan

Menurut Mohamad Anuar Saidi, apa yang berlaku itu adalah lumrah dan asam garam kepada mereka berempat dalam mendepani suspek yang pelbagai terutamanya melibatkan jenayah-jenayah berat.

"Kami tidak sedar masing-masing tercedera sebab ketika itu hanya fikir mahu berkas suspek sebab suspek bertindak agresif. Kami juga risaukan keselamatan ibu dan abangnya yang juga ada di rumah ketika itu,"katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Iklan

Empat anggota berkenaan sebelum itu menerima kunjungan daripada Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat yang turut menyampaikan surat penghargaan kepada mereka di perumahan pegawai kanan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di Kampung Terbak, di sini.

Seorang lagi anggota, Koperal Mohamad Firdaus Mohd Jamil, 33, ketika menceritakan detik pergelutan tersebut memberitahu, mereka terpaksa bertindak membuka pintu salah satu bilik di rumah suspek kerana suspek didakwa bersembunyi di bilik berkenaan.

Shafien (kiri) bertanya khabar anggotanya yang tercedera dalam insiden berkenaan.

Dia yang mengalami kecederaan di belakang kepala memberitahu, semasa pintu dibuka, mereka berempat terkejut apabila suspek memegang pisau tajam dan berlaku pergelutan beberapa saat sehingga mereka semua mengalami kecederaan.

"Masa buka pintu, suspek memang sedang pegang pisau berkenaan dan bertindak agresif melawan kami. Pada mulanya abang dan ibunya cuba memujuk suspek keluar dari bilik berkenaan, namun gagal.

"Kami difahamkan suspek sebelum itu mengamuk kerana mahu mendapatkan duit RM70 dari keluarganya, namun permintaan dia tidak diendahkan,"katanya.

Sementara itu, Datuk Shafien Mamat ketika sidang media turut merakamkan penghargaan kepada empat anggota berkenaan dan berbangga kerana mereka bertindak pantas selepas mendapat laporan daripada orang ramai mengenai amukan suspek di kediaman berkenaan.

Katanya, kebajikan empat anggota berkenaan juga akan diteliti untuk bantuan lanjut termasuklah keperluan insurans dan sebagainya.