Bayi hidap penyakit hati kronik dapat perhatian MAIM

Iklan
Nor Azam (kanan) ketika melawat keluarga Muhammad Aus Daniel di Jasin Bestari, pada Khamis.

JASIN - Nasib seorang bayi berusia 11 bulan yang menghidap biliary atresia atau penyakit hati kronik mendapat perhatian Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) yang menyantuni bayi itu di Jasin Bestari di sini, pada Khami

Pegawai Agihan Zakat Daerah Jasin, Nor Azam Ismail berkata, melihat keadaan bayi dan keluarga itu pihaknya akan meluluskan bantuan tunai bulanan sebanyak RM350 bermula Mac depan selama setahun.

Iklan
Iklan

"Selain itu MAIM akan memberikan wang perjalanan sebanyak RM150 setiap kali bayi berkenaan menerima rawatan di luar Melaka," katanya kepada Sinar Harian di sini.

Tambah beliau, MAIM akan terus membantu mereka yang memerlukan dan kerjasama semua pihak penting bagi memastikan tiada golongan layak dipinggirkan.

Iklan

Sementara itu, bapa bayi tersebut, Muhammad Ikqram Samsudin, 31, terharu dengan tindakan pantas MAIM yang turun padang untuk melihat keadaan anaknya.

"Syukur mereka bukan sekadar datang menyantuni namun turut mempertimbangan bantuan bulanan untuk anak sekali gus dapat meringankan beban kami sekeluarga," katanya.

Iklan

Sinar Harian pada Rabu lalu menyiarkan, bayi comel yang diberi nama Muhammad Aus Daniel Muhammad Ikqram, 11 bulan, dilahirkan dalam keadaan sihat dan normal seperti bayi lain.

Namun ketika usianya menjangkau tujuh minggu, dia disahkan menghidap biliary atresia atau hati dan perlu menjalani pembedahan dengan segera ketika itu.

Kasih ibunya, Nuraini Maszalan, 37, dan bapa, Muhammad Ikqram, 31, bagaimanapun tidak sedikitpun berkurangan dan reda diuji dengan dugaan itu walaupun kini terpaksa berulang-alik dari kediaman di Jasin Bestari di sini ke Hospital Sultanah Aminah, Johor setiap tiga bulan untuk mendapatkan rawatan susulan.