HULU TERENGGANU – Seorang gadis memohon bantuan mencari bapa kandungnya untuk menjadi wali pernikahan yang dijadualkan berlangsung pada bulan depan.
Nik Shamira Nadia Nik Mizuary, 21, dari Kampung Bukit Ara, Ajil di sini berkata, sudah 16 tahun dia tidak bertemu bapanya, Nik Mizuary Che Zainuddin, 48, selepas ibu bapanya bercerai.
Iklan
Iklan
"Kali terakhir saya jumpa ayah ketika berusia lima tahun. Selepas ibu, Wan Noraini Wan Nawang berpisah dengan ayah pada 2005, kami terus terputus hubungan sampai sekarang.
"Saya sudah berikhtiar dengan mencari ayah di kampungnya di Jerteh, Besut namun gagal kerana dia tiada di sana.
"Saya dimaklumkan sekarang bapa tinggal di Kuala Lumpur tapi tidak mempunyai alamat dan nombor telefon untuk hubungi ayah,” katanya kepada Sinar Harian, di sini pada Khamis.
Sehubungan itu, Nik Shamira Nadia yang bekerja sebagai pembantu kedai makan berharap segera menemui Nik Mizuary supaya majlis perkahwinannya dengan jejaka pilihan dapat berjalan lancar.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai bapanya boleh menghubungi beliau di talian 017-9790169.