PRN Johor: Kerjasama Bersatu-Pas tidak jejas undi bukan Melayu

Iklan
Mohamed Azmin (dua dari kanan) semasa bertemu pemain industri dalam program Bicara Memperkasa Ekonomi Bersama Pemain Industri dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di sebuah hotel di Skudai pada Khamis.Untitled

JOHOR BAHRU - Kerjasama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas tidak akan menjejaskan peluang Perikatan Nasional (PN) untuk menarik undi bukan Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, bukan Melayu tidak melihat kerjasama Bersatu dan Pas sebagai satu kekangan untuk menyokong kerana mereka lebih mengutamakan parti yang boleh membawa kestabilan serta kemakmuran.

Iklan
Iklan

"Mereka tidak melihat itu sebagai kekangan atau gangguan (untuk memberi sokongan kepada PN). Apa yang penting mereka mahukan kestabilan dan kepimpinan yang bersih dan bukan kleptokrat.

"Mereka bersedia untuk mendukung kerajaan PN yang juga dianggotai Pas untuk meneruskan usaha-usaha membantu rakyat dan mencerdaskan ekonomi negara," katanya.

Iklan

Beliau berkata berkata demikian ketika sidang akhbar selepas program Bicara Memperkasa Ekonomi Bersama Pemain Industri dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di sebuah hotel di Skudai di sini pada Khamis.

Mohamed Azmin yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu berkata, keyakinan golongan bukan Melayu untuk menyokong PN adalah berasaskan rekod cemerlang gabungan itu semasa menjadi kerajaan terutama semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.

Iklan

Menurutnya, kejayaan Muhyiddin menerajui PN adalah apabila dapat mengurus serta membendung jangkitan Covid-19 dan melakukan usaha-usaha pemulihan terhadap sektor ekonomi.

"Bagi golongan peniaga mereka mahu melihat kestabilan dan lebih banyak peluang perniagaan berdasarkan dasar-dasar kerajaan yang progresif.

"Ini telah dilakukan Tan Sri Muhyiddin dan PN, bukan sahaja dengan dasar yang cukup proaktif dan mesra perniagaan tetapi lapan pakej rangsangan diperkenal yang banyak membantu aliran tunai terutama perusahaan kecil dan sederhana untuk meneruskan perniagaan," katanya.

Beliau berkata, golongan peniaga sangat menghargai dasar-dasar itu yang disifatkan cukup proaktif sekali gus sedia menyokong PN untuk meneruskan usaha memulihkan ekonomi negara dan menjamin kestabilan.

"Kepimpinan Tan Sri Muhyiddin dan PN memang meletakkan kestabilan serta perpaduan. Itu agenda penting kerana tanpa kestabilan dan kemakmuran tidak mungkin kita dapat menarik pelaburan domestik atau luar negara untuk melabur dalam negara kita," katanya.

Tambahnya, bukti pencapaian PN itu boleh dilihat menerusi jumlah pelaburan tinggi yang diterima negara dan perkembangan industri serta perniagaan yang semakin baik.