Piala Asia B-23: Malaysia diundi berdepan Korea Selatan, Thailand, Vietnam

Iklan
Skuad B-23 negara kini menghadapi tugasan pada Kejuaraan AFF 2022 di Kemboja. FOTO: SPORTFLEX

SKUAD Bawah 23 (B-23) tahun negara bakal mengharungi tugas sukar pada pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan apabila diundi bersama juara edisi 2020, Korea Selatan dalam Kumpulan C.

Selain gergasi Asia itu, skuad kendalian Brad Maloney juga akan berdepan dua pasukan handalan dari negara jiran tetangga - Thailand dan Vietnam yang turut diundi dalam kumpulan sama.

Iklan
Iklan

Bagi Maloney, undian menentang tiga pasukan itu sebagai satu cabaran besar yang perlu dihadapi anak-anak buahnya bagi mengharungi kejohanan tersebut.

"Keputusan undian itu nampak menarik, Korea Selatan juara dalam kejohanan sebelum ini dan saya menjangkakan ia satu saingan yang sangat mencabar.

Iklan

"Bagi saya, ia bukan perlawanan yang mudah dan terpaksa diharungi dan kami perlu memandang ke hadapan untuk melakukan persiapan terbaik,” katanya dalam sidang media secara maya di Kemboja pada Khamis.

Piala Asia B-23 2022 yang akan berlangsung dari 1 hingga 19 Jun itu turut menyaksikan Uzbekistan, Iran, Qatar dan Turkmenistan diundi berada dalam Kumpulan A.

Iklan

Australia pula diundi dalam Kumpulan B bersama Jordan, Iraq dan Kuwait manakala juara edisi 2016, Jepun berada dalam Kumpulan D bersama naib juara 2020, Arab Saudi selain Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta Tajikistan.