PUTRAJAYA – Kerajaan akan membangunkan Pelan Hala Tuju Robotik Negara (NRR) dengan menyasarkan 195 unit robot bagi setiap 10,000 pekerja di Malaysia pada tahun 2030.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, inisiatif itu merupakan salah satu agenda yang dipersetujui bersama dalam mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) pada Khamis.
Menurutnya, NRR berfungsi ke arah mengarusperdanakan penggunaan teknologi robotik di negara ni.
"Pelan ini mampu meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh asing seterusnya meminimumkan pengaliran mata wang ke luar negara.
"Kepadatan robot di Malaysia bagi setiap 10,000 pekerja pada tahun 2019 adalah 55 unit dan sasarannya adalah 195 unit bagi setiap 10,000 pekerja pada tahun 2030,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau sebelum itu mempengerusikan MED4IRN pertama bagi tahun 2022 yang turut dihadiri oleh Menteri-Menteri serta Ketua Jabatan dan Agensi yang terlibat secara dalam talian.
Ismail Sabri berkata, mesyuarat sama juga memutuskan untuk menyokong konsep Projek Pemangkin bagi memacu Aspirasi MyDIGITAL.
Kata Perdana Menteri, mesyuarat bersetuju menubuhkan Pasukan Petugas Projek Pemangkin MyDIGITAL untuk memilih projek yang sesuai dan memantau pelaksanaan yang merupakan kerjasama antara sektor awam dan swasta.
"Projek Pemangkin akan dibiayai oleh sektor swasta dan Kerajaan akan memainkan peranan sebagai pemudahcara. Antara contoh projek pemangkin adalah perubatan pintar menyasarkan penubuhan hospital yang menggunakan teknologi 5G bagi meningkatkan taraf penjagaan kesihatan rakyat.
"Selain itu, adalah projek Bandar Pintar menyasarkan pelbagai kes kegunaan (use cases) berguna bagi memastikan kelestarian kehidupan yang lebih bermakna,” katanya.
Pada masa sama, melalui Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) jelas Ismail Sabri, sebanyak 1.89 juta premis baharu yang diliputi dengan capaian gentian optik dan sebanyak 1,189 menara 4G baharu telah dibina dari September 2020 sehingga Disember 2021.
"Di bawah Fasa 1, sebanyak 6.85 juta premis diliputi dengan capaian gentian optik dan liputan 4G di kawasan berpenduduk mencatatkan 95 peratus setakat 31 Disember 2021.
"Digital Nasional Berhad (DNB) juga telah memulakan akses kepada rangkaian borong 5G di mana sebanyak 500 tapak 5G telah diaktifkan setakat 31 Disember 2021 di WP Putrajaya, Cyberjaya dan WP Kuala Lumpur.
"DNB juga menyasarkan 3,500 tapak (bersamaan 36 peratus liputan di kawasan berpenduduk) pada penghujung tahun 2022,” katanya.
Menurut beliau lagi, melalui program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil (PUPUK) pula, sebanyak 883 Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) sedang beroperasi manakala 28 lagi akan beroperasi menjelang 31 Mac 2022 di seluruh Malaysia.