Bekas pembantu khas speaker DUN Pulau Pinang dipenjara 30 bulan

Iklan
Foto hiasan

PUTRAJAYA - Bekas pembantu khas speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Khor Khan Khai, terpaksa menjalani hukuman penjara 30 bulan atas kesalahan mencabul kehormatan seorang wanita hampir empat tahun lepas.

Ini kerana beliau gagal memperoleh kebenaran merayu daripada Mahkamah Rayuan untuk memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman penjara.

Iklan
Iklan

Khor, 43, perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu sebelum dibenarkan meneruskan rayuannya di Mahkamah Rayuan mengikut Seksyen 50 (2) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 kerana kesnya dari Mahkamah Majistret.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Has Zanah Mehat, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hashim Hamzah menolak permohonan kebenaran Khor hari ini.

Iklan

Pada 23 November 2020, Mahkamah Majistret Bukit Mertajam mendapati Khor bersalah atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang wanita yang ketika itu berumur 31 tahun dan menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan.

Khor dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah pejabat di Jalan Sungai Rambai, daerah Seberang Prai Pulau Pinang pada 11.15 malam, 24 Ogos 2018.

Iklan

Dia merayu di Mahkamah Tinggi terhadap sabitan dan hukuman penjara namun Mahkamah Tinggi Butterworth menolaknya pada 21 Disember tahun lepas yang menyebabkan dia memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran untuk meneruskan rayuannya ke Mahkamah Rayuan.

Dalam permohonan kebenaran merayunya itu, Khor, turut memohon penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu penyelesaian rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Peguam M. Athimulan yang mewakili Khor memohon mahkamah memberikan kebenaran atas alasan terdapat beberapa persoalan undang-undang yang perlu diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari yang mewakili pendakwaan berkata persoalan yang dibangkitkan pihak pembelaan bukan persoalan undang-undang dan kebenaran itu tidak sepatutnya diberikan kepada Khor.

Seksyen 50 (2) Akta Mahkamah Kehakiman menyatakan bahawa rayuan terhadap mana-mana keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan dengan perkara jenayah yang diputuskan oleh Mahkamah Majistret akan terhad kepada persoalan undang-undang sahaja. - Bernama