PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee menuntut para pemain The Rhinos mempamerkan prestasi terbaik pada perlawanan terakhir menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dalam saingan Piala Sabah Maju Jaya (SMJ) 2022 di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Jumaat.
Malah menurut Kim Swee, beliau juga mahu para pemain Sabah memperbaiki lagi rentak dan melipatgandakan mutu permainan berbanding perlawanan pertama dan kedua sebelum ini biarpun KDA mempunyai kelebihan jumlah jaringan gol.
"Kita tahu KDA FC merupakan pasukan 'favourite' dan kalau kita lihat daripada jumlah jaringan gol mereka jauh lebih baik dan lebih bersedia kali ini.
"Namun kita tidak mempunyai pilihan selain memperbaiki corak pemainan berbanding sebelum ini. Sudah tentu saya ingin melihat satu persembahan yang lebih baik terutama pada perlawanan terakhir Piala SMJ esok.
"Perlawanan terakhir itu penting bagi memastikan para pemain benar-benar bersedia sebelum menghadapi perlawanan pertama Liga Super yang dijangka bermula dalam tempoh dua minggu lagi," katanya pada Khamis.
Mengulas mengenai jumlah pemain yang bersedia untuk diturunkan pada perlawanan tersebut, Kim Swee berkata, ia bergantung kepada keadaan kecergasan para pemain.
"Saya tidak pasti berapa ramai lagi yang boleh bermain untuk perlawanan esok. Ini terpulang kepada keadaan kecergasan para pemain esok pagi dan tidak kira berapa ramai pemain yang kita ada kurang ataupun banyak kita harus bersiap sedia.
"Semua pemain merupakan pemain yang penting, tidak kira mereka kesebelasan utama ataupun tidak di mana perkara ini mungkin akan berulang pada saingan liga nanti jadi semua pemain harus bersiap sedia jika diturunkan.
"Jadi mahu tidak mahu semua pemain harus bersiap sedia jika diturunkan malam esok... Saya inginkan mereka menunjukkan prestasi yang lebih baik daripada apa yang mereka tunjukkan sebelum ini,” ujarnya.
Untuk rekod, KDA mengungguli kumpulan dengan enam mata berkelebihan empat jaringan manakala Sabah kedua dengan tiga mata.