KUALA LUMPUR -Sebanyak 143 serbuan kes perjudian dan pelacuran dilakukan di sekitar Dang Wangi bermula Jun 2021 sehingga 31 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, 109 serbuan melibatkan kegiatan perjudian dan 34 lagi kes pelacuran membabitkan rampasan bernilai RM185,212.
"Hasil serbuan tersebut, polis telah merampas 449 peralatan perjudian yang dianggarkan bernilai RM150,000 dan wang tunai berjumlah RM11,882.00.
"Bagi serbuan melibatkan pelacuran, sebanyak 110 peralatan dianggarkan bernilai RM22,930 dan wang tunai berjumlah RM400 turut dirampas," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Noor Dellhan berkata, sebanyak 23 premis perjudian dan pelacuran telah diambil tindakan.
"20 premis perjudian dipotong bekalan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad(TNB) mengikut Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
"Manakala tiga premis pelacuran telah dirobohkan struktur dalaman yang dibina tanpa kebenaran oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur(DBKL)," katanya.
Sementara itu, Noor Dellhan berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Dang Wangi telah melakukan pelupusan sebanyak 33,262 keping DVD cetak rompak dianggarkan bernilai RM99,786 hasil serbuan yang dijalankan sepanjang tahun 2008 sehingga 2016.