Penyelidikan Unimas main peranan besar kawal Covid-19 di Sarawak

Iklan
Amar Douglas Uggah Embas

KOTA SAMARAHAN - Para penyelidik Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) telah memainkan peranan besar membantu kerajaan Sarawak dalam usaha mengawal penularan Covid-19, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Khamis.

Menurutnya, sejak Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak ditubuhkan tahun lalu dengan kos RM190 juta hasil kerjasama Unimas dan beberapa agensi kerajaan berkaitan, para penyelidik universiti itu telah membuktikan kepakaran mereka dalam menangani pandemik itu.

Iklan
Iklan

"Penubuhan pusat penyelidikan penyakit berjangkit ini, terutamanya berkaitan penularan wabak Covid-19, membuktikan kepercayaan tinggi kerajaan negeri terhadap para penyelidik Unimas,” katanya semasa berucap di Sidang Keempat Majlis Konvokesyen Unimas Ke-25 pada Khamis.

Beliau berkata, sumbangan dalam bidang saintifik seperti penemuan-penemuan baharu varian Covid-19 dan juga melalui penulisan ilmiah daripada pensyarah-pensyarah Unimas ini menjadi kebanggaan dan dihargai kerajaan negeri.

Iklan

"Penyelidik-penyelidik Unimas telah menggembleng tenaga dan keringat tanpa mengira masa dalam membantu negara berperang dengan virus Covid-19,” katanya.

Sementara itu Naib Canselor Unimas, Profesor Datuk Mohamad Kadim Suaidi yang turut berucap dalam majlis itu berkata, universiti itu telah berjaya menempatkan kedudukannya dalam kalangan 401 universiti terbaik dunia berdasarkan Times Higher Education Young University Rankings baru-baru ini.

Iklan

Katanya, Unimas telah menubuhkan sebuah Pusat Sains Data, dan kini dalam proses menubuhkan Institut Penyelidikan dan Inovasi Pelancongan (ITRI).

"Pihak universiti telah melancarkan Vice Chancellor’s High Impact Research Fund bagi menyokong kegiatan penyelidikan berimpak tinggi yang dijajarkan dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS) kerajaan Sarawak,” tambahnya. - Bernama