JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Lelaki yang videonya tular di media sosial kerana menunggang motosikal sambil membuat aksi ‘wheelie’ bersama seorang kanak-kanak perempuan yang memboncengnya telah ditahan polis pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Wahid berkata, penahanan itu dibuat berdasarkan video aksi berdurasi 36 saat melibatkan lelaki berusia lingkungan 20-an berkenaan pada jam 3 petang.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati aksi menunggang motosikal secara berbahaya itu telah dibuat di Jalan Bukit Impian 1, Taman Impian Emas di sini dengan menggunakan telefon bimbit milik lelaki tersebut.
"Kita menerima video memaparkan suspek menunggang sebuah motosikal jenis Honda EX5 bersama seorang kanak-kanak perempuan yang membonceng di bahagian hadapan motosikal dengan membuat aksi 'wheelie' iaitu mengangkat tayar hadapan.
"Tujuan aksi tersebut adalah untuk meraih perhatian warga net dan telah dimuat naik ke dalam akaun Facebooknya peribadinya pada 15 Februari kira-kira jam 7 petang,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Rupiah berkata, sebanyak tiga saman telah dikeluarkan melibatkan kesalahan nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikuti spesifikasi, tidak memakai topi keledar dan cukai jalan tamat tempoh.
"Suspek ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mana jika sabit kesalahan seseorang itu boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun atau didenda tidak melebihi RM15,000.
"Sekiranya ini adalah sabitan kedua, suspek juga boleh dikenali hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak melebihi RM20,000,” katanya.