Wartawan cilik tak sempat masak sebab sibuk

Iklan
Persatuan Jurukulinari Kedah yang mengadakan kunjungan ke rumah Muhammad Haziq di Bukit Selambau, petang Khamis.

SUNGAI PETANI - Wartawan cilik, Muhammad Haziq Mohd Asyraf mengakui terpaksa mengurangkan masa memenuhi hobi memasak sejak menjadi perhatian ramai kebelakangan ini.

Menurutnya, masanya agak terhad kerana sering menerima jemputan dan kehadiran pelbagai pihak yang ingin bertemu dengannya.

Iklan
Iklan

"Kadang-kadang sampai tak sempat nak masak sebab sibuk.

"Saya juga kena jumpa doktor untuk rawatan penyakit talasemia," katanya yang kini sedang membuat persiapan menghadapi peperiksaan penggal ketiga minggu hadapan.

Iklan

Walaupun sibuk, murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan Bukit Selambau itu akan tetap memasak kerana menganggap hobinya itu satu kepuasan.

"Dalam sehari mesti rasa nak masak juga, semalam (sempat) buat kuih loyang, pertama kali buat terus menjadi," katanya ketika menerima kunjungan Persatuan Jurukulinari Kedah di rumahnya di Bukit Selambau, petang Khamis.

Iklan

Presiden Persatuan Jurukulinari Kedah, Norfadzli Ahmad berkata, kehadiran mereka bagi memberi penerangan tentang bidang kulinari selain menyuntik semangat kanak-kanak itu agar terus meminati bidang masakan sebagai satu kerjaya yang memberi pulangan pada masa depan.

"Namun harus sedar untuk menjadi seorang cef perlu mengikuti langkah-langkah tertentu dan memantapkan pengetahuan dalam pelbagai bidang selain disiplin yang tinggi," katanya.

Beliau bagaimanapun berbangga dengan tahap penguasaan Muhammad Haziq yang baharu berusia 12 tahun tetapi boleh memasak pelbagai jenis masakan.

Sementara itu, ibu Muhammad Haziq, Nur Shakilla Zainol, 33, berkata, setakat ini, jumlah jemputan yang diterima ke majlis atau program tertentu semakin berkurangan berbanding ketika video laporan ular sawa Muhammad Haziq mulai tular memandangkan jadualnya dipantau keluarga dan masih mengikuti sesi persekolahan.

Muhammad Haziq digelar wartawan cilik susulan laporan secara langsung yang dirakam olehnya menerusi media sosial Facebook mengenai penemuan ular sawa di Pasar Bukit Selambau menggunakan loghat Kedah secara lancar dan spontan mendapat perhatian ramai sehingga tular di seluruh negara.