Makin ramai ahli politik sedia sahut ujian RBTag

Iklan
Nurhayati (tengah) ketika pelancaran ujian psikometrik RBTag di Kompleks Karangkraf pada 11 November lalu.

SEMAKIN ramai ahli politik negara yang menyatakan kesediaan untuk menjalani ujian psikometrik Rasuah Busters Tag (RBTag) yang berfungsi sebagai alat pengukur kebolehpercayaan seseorang individu terhadap tahap integriti masing-masing.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan setakat ini seramai 21 ahli politik daripada beberapa buah parti menunjukkan komitmen dengan menjalani ujian RBTag secara berperingkat.

Iklan
Iklan

Perkara itu disahkan sendiri oleh Ketua Sekretariat Rasuah Busters, Nurhayati Nordin yang menyatakan bahawa ujian tersebut sudah berlangsung selama dua sesi.

Beliau berkata, usaha yang dibuat sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada November tahun lalu membuahkan hasil di mana ketika itu, mereka sudah pun mendapat penyertaan dan sambutannya meningkat setiap hari.

Iklan

Tambah Nurhayati, selepas ini, mereka akan berada di Johor dan ujian tersebut akan diteruskan di sana ketika PRN Johor yang bakal berlangsung pada 12 Mac ini.

Pada Khamis, ujian RBTag yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf menyaksikan seramai 18 ahli politik daripada Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan seorang daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu Bendahari Agungnya, Lee Chean Chung telah mengambil bahagian.

Iklan

Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Saari Sungib dan ADUN Lembah Jaya, Haniza Mohamed Talha turut telah menjalani ujian tersebut sebelum ini.

Dalam masa sama, Nurhayati menyeru lebih ramai ahli politik untuk turut sama menjalani ujian tersebut sebagai satu cara untuk menilai integriti pemimpin masa depan negara.

Ujar beliau, ujian itu bukan bertujuan mengetahui sama ada seseorang itu mengambil rasuah atau tidak, sebaliknya untuk profil diri individu berkenaan.

Ini kerana, keputusan ujian tersebut membolehkan mereka mengenal pasti dan menilai titik kelemahan serta kekuatan masing-masing untuk memperbaiki diri menjadi pemimpin yang lebih baik kepada rakyat yang mengundi mereka.

Memang benar, ujian RBTag itu bukanlah satu kewajipan yang perlu dilaksanakan oleh setiap ahli politik, namun bukankah alternatif yang digerakkan itu sekurang-kurangnya dapat meningkatkan sedikit sebanyak kepercayaan dan keyakinan pengundi terutamanya bagi calon yang bertanding.

Jika disebut tentang rasuah, pasti disinonimkan dengan politik. Justeru, ahli politik seharusnya tidak perlu khuatir dan harus bersedia untuk menjalani ujian RBTag sekiranya mereka benar-benar jujur dan bebas daripada amalan rasuah.