Lepaskan gaji lumayan demi jaga ibu, ayah

Iklan
Tengku Rozairi membuka bengkel kimpalan di belakang rumah ibu bapanya.

MACHANG - Seorang pemuda sanggup meninggalkan kerjaya bergaji lumayan dalam sektor minyak dan gas demi menjaga ibu bapanya yang tinggal di Kampung Air Belaga, Banggol Judah di sini.

Tengku Rozairi Tengku Abdul Rahman, 27, merupakan salah seorang anak Melayu yang mempunyai sijil Amerika Welding Society (AWS) dan pernah bekerja di Pengerang, Johor sebelum mengambil keputusan pulang ke kampung halaman.

Iklan
Iklan

Anak keenam dari lapan beradik itu memberitahu, selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia mula bekerja sementara di bengkel kimpalan besi di Pangkal Meleret, Machang.

Katanya, minat pada bidang berkenaan semakin mendalam mendorongnya mengambil lesen AWS dan berhijrah ke Johor untuk bekerja dalam bidang minyak dan gas.

Iklan

Namun impian untuk kekal lama dalam bidang berkenaan terpaksa dilepaskan kerana memikirkan keadaan bapanya, Tengku Abdul Rahman Tengku Mahmood, 65, dan ibunya, Rogayah Abas, 58, di kampung memandangkan adik beradik yang lain bekerja di luar Kelantan.

"Saya pulang ke kampung dan dengan duit simpanan yang ada, saya buka bengkel kimpalan di belakang rumah ibu bapa pada awal tahun 2019.

Iklan

"Namun selepas beberapa bulan bengkel dibuka, perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksana menyebabkan bengkel terpaksa ditutup sementara. Alhamdulilah selepas beralih fasa, kini bengkel saya mula beroperasi seperti biasa," katanya.

Pemuda yang pernah membaiki besi lebih 40 buah kenderaan kereta pacuan empat roda itu memberitahu, dengan pengalaman yang ada, dia memberanikan diri membuka bengkel berkenaan dengan modal permulaan sebanyak RM25,000.

Barisan pekerja yang sentiasa membantu Rozairi di bengkelnya di Kampung Air Belaga di sini.

Bukan hanya kimpalan biasa, namun Tengku Rozairi turut mengambil upah membina lebih 30 gelanggang futsal, dewan serbaguna dan sebagainya melibatkan tempahan dari seluruh pelosok Kelantan.

Katanya, kimpalan dilakukan kini tidak sama dengan kimpalan semasa bekerja dalam bidang minyak dan gas.

"Banyak pengalaman yang saya peroleh semasa bekerja di sana dan digunakan sebaik mungkin untuk bengkel saya sekarang.

"Sekarang ini saya pun menerima juga pelajar-pelajar yang mahu mengadakan latihan praktikal dan industri di bengkel saya. Insya-ALLAH saya akan bantu mereka berdasarkan pengalaman yang ada," katanya.