Bantuan peralatan niaga sudah diterima tapi jadi hiasan

Iklan
Mas Ermieyati (tengah) bersama penerima bantuan peralatan perniagaan di Masjid Tanah, di sini pada Khamis.

ALOR GAJAH - Ada segelintir penerima sumbangan peralatan perniagaan didapati tidak memanfaatkan dan menghargai bantuan yang diberikan.

Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, mereka memohon mendapatkan bantuan berkenaan untuk meningkatkan sumber pendapatan, namun malangnya apabila diluluskan dan diserahkan ia menjadi barang hiasan.

Iklan
Iklan

"Saya kecewa dan kesal, pernah kita berikan bantuan mesin namun selepas membuat tinjauan beberapa minggu kemudian, mesin itu tersadai di dapur dan tidak digunakan.

"Jadi pada kali ini terutama penerima bantuan mesin, mereka juga akan keluarkan sedikit wang untuk merealisasikan hasrat mereka sekali gus nampak kesungguhan mereka benar-benar perlukan peralatan itu," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika penyampaian sumbangan peralatan perniagaan Parlimen Masjid Tanah di Masjid Tanah di sini pada Khamis.

Mas Ermieyati berkata, sebanyak RM130,000 diperuntukkan bagi membantu penjaja dan peniaga kecil yang memerlukan peralatan perniagaan seperti meja, kerusi, kipas, mesin adunan, gerai dan lain-lain sepanjang tahun lalu.

Iklan

"Saya harap penerima kali ini menghargai bantuan yang diberikan dan menjadikannya sebagai pemangkin semangat untuk terus berjaya," katanya.

Sementara itu penjual biskut, Nur Shakila Mohd Ramli, 31, berkata, dengan adanya mesin adunan yang diterima akan memudahkan dan menjimatkan masa untuk menyiapkan tempahan biskut.

"Disebabkan tempahan biskut semakin banyak, sukar untuk saya menggunakan cara manual. Jika tidak sehari hanya dapat menyiapkan kira-kira 30 balang biskut sedangkan tempahan dan permintaan semakin bertambah.

"Walaupun terpaksa mengeluarkan sedikit wang untuk membeli mesin ini, namun bersyukur kerana yakin kemudahan yang diberikan akan bantu memudahkan kerja saya," katanya.

Ibrahim

Ibrahim Baba, 67, yang sudah 14 tahun menjual nasi dan mi goreng gembira apabila menerima bantuan meja serta kerusi baharu.

Menurutnya, pendapatan harian yang diterima semakin berkurangan berbanding sebelum ini, malah kos bahan mentah yang meningkat menyebabkan dia tidak mampu menukar kerusi dan meja baharu.

"Dah 14 tahun berniaga banyak kerusi dan meja plastik yang rosak.

"Pak cik nak beli tak mampu, nasib ada bantuan Parlimen Masjid Tanah," katanya.