AMPANG - Sedari kecil dibesarkan dalam suasana dikelilingi kucing mendorong pemilik Khaty's Cat House mula mengusahakan rumah perlindungan kucing sejak 2014.
Pemiliknya, Siti Khatijah Mohd Hassan, 51 berkata, dia memperuntukkan kira-kira RM2,000 sebulan untuk kos operasi Khaty's Cat House di Kampung Ampang Indah di sini.
Menurutnya, pelbagai pekerjaan dilakukan bagi menampung dana bagi operasi rumah perlindungan kucing tersebut, termasuk meniaga makanan dan menjadi pengasuh.
Tambahnya, kos operasi juga menjadi ringan selepas terdapat pihak sudi menjadi rakan penaja serta sokongan daripada Kelab Kucing Malaysia.
"Sejujurnya saya tidak mampu namun jika saya tidak terus menjaga kebajikan kucing-kucing ini maka lebih banyak kucing terabai di jalanan atau didera.
"Setiap malam, saya bersama suami akan menyelamat kucing jalanan sekitar Ampang selain memberikan haiwan-haiwan ini makanan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau ditemui pada program kesedaran kucing angkat 'We Love, We Care' anjuran Kelab Kucing Malaysia di Khaty's Cat House.
Turut hadir, Presiden Kelab Kucing Malaysia, Khalid Rashid.
Siti Khatijah berkata, kucing yang diselamatkan akan dirawat, divaksin dan dimandulkan sebelum diberikan kepada individu yang berminat untuk mengambil kucing angkat.
"Saya berharap masalah kucing terbiar ditangani bersama-sama oleh masyarakat dengan memelihara sekurang-kurangnya satu hingga dua ekor kucing bagi setiap rumah.
"Besar harapan saya satu hari ini isu kucing terbiar ini dapat diatasi sepenuhnya. Sebab itu saya tekankan kepentingan kucing dimandulkan bagi mengurangkan pembiakan kerana kucing boleh beranak tiga kali setahun," katanya.
Pihaknya mengalu-alukan sekiranya terdapat pihak berminat mengambil kucing-kucing yang terdapat di Khaty's Cat House untuk dijaga.
Namun katanya, terdapat beberapa kriteria perlu dipatuhi bagi memastikan haiwan ini dapat dijaga dengan baik serta tidak disalah guna untuk tujuan keuntungan.
Pada program tersebut, kira-kira 30 kucing diberikan vaksin percuma sebagai salah satu bentuk projek tanggungjawab sosial korporat Kelab Kucing Malaysia dengan kerjasama sebuah klinik swasta.