KLUANG – MIC Johor menempelak kenyataan ADUN Mengkibol, Chew Chong Sin bahawa penyatuan politik UMNO-Pas akan menghasilkan naratif berkisar agama dan bangsa dan akan menyebabkan tindakan yang ekstrim dan ganas seperti di New Zealand.
Pengerusinya, R Vidyananthan berkata, ini merupakan kenyataan yang salah kerana orang Melayu mempunyai semangat toleransi dan bersangka baik yang tinggi terhadap perbezaan dan politik mereka adalah politik beradab dan tidak pernah menyinggung serta menyakiti.
"Politik Melayu-Islam adalah politik yang menjaga dan menghormati. Namun begitu, jika hak dan identiti mereka tidak dibela, ekonomi, pendidikan dan institusi mereka saban hari diancam dan disindir-sindir, maka api ketidakpuasan pastinya akan membara.
"Politik Melayu-Islam ini juga telah terbukti melindungi kepentingan semua pihak, sebelum dan pasca kemerdekaan negara lagi melalui prinsip konsensus dan perbincangan. Parti Perikatan atau BN telah melakukan sebaik mungkin keadilan kepada semua bangsa dan agama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Vidyananthan yang juga ADUN Kahang berkata, kesepakatan ini juga telah terbukti selama lebih enam dekad BN memerintah dan anak-anak kaum India dan Cina diberikan pendidikan, pekerjaan dan peluang untuk memajukan diri dan nasib mereka.
Katanya, beliau percaya kepada konsensus dan perkongsian kuasa selain percaya pemimpin Melayu - Muslim di dalam UMNO adalah amat moderat kerana memperjuangkan nasib bangsa mereka tanpa mengenepikan bangsa lain.
"Ya, mungkin ia tidak sempurna, tetapi jika politik Melayu - Islam ini adalah politik ‘taliban’ dan ekstrim, maka tidak akan ada seorang pun anak-anak selain Melayu yang berpendidikan tinggi dan berharta.
"Itulah model politik yang telah membangunkan negara kita berdekad lamanya. Ia tidaklah sempurna, tetapi di dalam ketidaksempurnaan ini, kami telah memberikan hak kepada yang sepatutnya,” katanya.
Menurutnya, beliau juga akan bekerja demi kepentingan masyarakat India dan MIC akan menjadi rakan pengimbang dan rakan kongsi kuasa bersama UMNO-Pas semata-mata untuk menegakkan nasib bangsa itu di negara ini.
Katanya, walaupun wujud cakap-cakap belakang bahawa undi kaum India tidak penting lagi, ini adalah tidak tepat kerana bagi DUN Johor, pecahan pengundi India di seluruh negeri adalah tidak sekata dan tidak pula melebihi 20 peratus.
"Jika dicampur semua undi Melayu, sama ada penyokong Pas mahupun UMNO sekali pun, undi masyarakat India tetap diperlukan untuk memenangi beberapa kerusi DUN di Johor. Maka orang India tidak perlu berasa segan dan rendah diri kerana mereka tetap penting,” katanya.