IPOH - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak akan mengambil tindakan tegas terhadap penjaja di persimpangan lampu isyarat di negeri ini.
Pengarahnya, Mohammad Yusoff Abustan berkata, tindakan saman akan dikenakan kepada mereka yang degil di bawah peruntukan undang-undang yang ditetapkan.
Jelas beliau, pihaknya sebelum ini sudah menjalankan program advokasi dengan memberikan nasihat dan amaran kepada penjaja berkenaan supaya tidak menjalan perniagaan di situ.
"Kita akan ambil tindakan kerana ia menyalahi peraturan. Meniaga di tempat yang berbahaya terutama di rizab jalan boleh mengundang kecelakaan dan nahas. Kita merancang untuk buat (tindakan saman) dalam masa terdekat ini.
"Saya juga dimaklumkan sepatutnya dibuat seluruh negara tetapi buat berperingkat. Kita akan susuli dalam masa terdekat. Sebelum ini Perak buat advokasi sahaja, menasihati sahaja," katanya kepada pemberita ketika ditemui di dalam Operasi Bersepadu Kenderaan Perdagangan di Plaza Tol Ipoh Utara (arah selatan) di sini pada malam Khamis.
Mohammad Yusoff berkata, sebarang aktiviti melibatkan perniagaan di atas jalan adalah dilarang kerana ia termaktub di dalam undang-undang di bawah Kaedah 10A Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.
Pada 11 Januari lalu, JPJ Negeri Sembilan turut mengumumkan perkara sama untuk mengambil tindakan saman ke atas penjaja di persimpangan lampu isyarat.
Berdasarkan Kaedah 10A(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 dengan jelas menetapkan bahawa tiada sesiapa dibenarkan menjual atau menawarkan untuk menjual apa-apa barang kepada individu yang menaiki kereta di sepanjang jalan atau simpang.
Kaedah 10A(2) juga menyatakan bahawa pemandu kenderaan juga tidak dibenarkan membelinya.
Pesalah boleh dipenjara sehingga RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan jika sabit kesalahan.