Elak pertindihan kerusi, Muda harap perbincangan segera dengan PKR

Iklan
Syed Saddiq

KUALA LUMPUR - Presiden Parti Ikatan Demokratik (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berharap perbincangan segera dapat dibuat bagi mengelak pertindihan kerusi antara Muda dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac akan datang.

Beliau berkata, tindakan PKR mengumumkan 20 calon mereka yang akan bertanding pada PRN Johor telah menamatkan rundingan pembahagian kerusi dengan Muda.

Iklan
Iklan

Katanya, sebelum ini melalui rundingan rasmi bersama DAP dan Amanah, Muda telah berjaya mengelakkan sebarang pertindihan kerusi.

"Muda juga telah mengadakan siri-siri rundingan rasmi bersama pimpinan PKR. Namun PKR telah membuat keputusan untuk mengumumkan senarai calon mereka di 20 kerusi sekaligus menamatkan rundingan rasmi bersama Muda," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Ujarnya, jika tidak ada sebarang perkembangan dan perubahan keputusan dari pimpinan PKR berkaitan kerusi Muda-PKR, pimpinan Muda akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan jalan ke hadapan pada hujung minggu ini.

"Sekiranya pertindihan kerusi antara Muda-PKR tidak dapat dielakkan, Muda akan serahkan keputusan di tangan rakyat Johor," katanya.

Iklan

Tambahnya lagi, Muda menyertai PRN Johor bertujuan untuk membawa perubahan yang baik kepada Negeri Johor dan Malaysia.

"Negeri Johor harus dipimpin oleh kepimpinan yang mengangkat politik dasar sebagai teras untuk pembangunan ekonomi kepada rakyat Johor," katanya.