AMPANG - Tiada rumah dan tidak mampu membayar sewa menyebabkan pasangan suami isteri nekad membina pondok usang tanpa kemudahan asas di tanah lapang di Lembah Jaya di sini untuk mereka bersama empat cucu berteduh.
Bahie Anak Jalak, 46 berkata, mereka tidak mampu membayar sewa rumah selepas suaminya hilang pekerjaan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020.
Menurutnya, mereka mengutip bahan binaan terpakai dan berjaya membina pondok tersebut dalam tempoh dua hari.
"Kami gunakan bateri untuk pasang lampu manakala air kami ambil dari sungai berhampiran.
"Saya juga berkebun di tanah lapang bersebelahan pondok untuk menyara kehidupan. Sebulan dapat sekitar RM300 untuk belanja dapur," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Jelasnya, kesemua cucunya berusia tiga hingga 11 tahun berada dijagaan mereka selepas anak dan menantu menghilangkan diri dan membuat haluan masing-masing.
"Anak saya berada di Johor dan tidak bersua muka hampir setahun namun adakala berhubung melalui panggilan telefon manakala menantu saya pula tidak diketahui keberadaannya.
"Anak saya ada beri duit belanja namun tidak tetap, adakala bagi dan adakala tidak menyebabkan saya dan suami perlu mencari ikhtiar sendiri untuk menyara cucu-cucu kami," katanya.
Bagaimanapun, Bahie lega apabila suaminya baharu mendapat pekerjaan sebagai pekerja am dan dapat membantu menambah perbelanjaan.
Katanya, walaupun lega mempunyai mempunyai tempat berteduh namun kebimbangan diusir pada bila-bila masa tetap ada memandangkan rumah yang dibina adalah tanah milik persendirian.
"Buat masa ini tuan tanah benarkan kami usahakan tanah ini, namun kami bimbang diarah keluar seandainya kawasan ini mahu dibangunkan kelak.
"Kami semestinya mahukan rumah yang lebih selesa kerana tinggal bersama cucu-cucu yang masih kecil, namun buat masa ini kami tiada kemampuan untuk menyewa rumah," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kebajikan Golongan Asnaf dan Gelandangan Kuala Lumpur dan Selangor (KASGE), Rashdan Rashid berkata, keluarga tersebut merupakan antara warga kota miskin tegar yang terjejas dengan situasi pandemik.
"Keluarga ini memerlukan bantuan disebabkan mempunyai masalah pendapatan. Mereka juga perlukan sokongan moral daripada komuniti untuk meneruskan kehidupan.
"Sebelum ini Kelab Kebun Komuniti Selangor membantu keluarga ini menyediakan tempat sementara buat mereka bercucuk tanam dan untuk jangka masa panjang memerlukan bantuan-bantuan lain bagi membolehkan mereka meneruskan kehidupan," katanya.
Katanya, pihaknya akan membantu keluarga itu membuat permohonan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan mengusahakan bentuk saluran di peringkat kerajaan negeri termasuk pembiayaan persekolahan buat cucu-cucu mereka.