6 ditahan, dadah bernilai lebih setengah juta ringgit dirampas

Iklan
Ahmad Jefferi (tengah) menunjukkan dadah yang berjaya dirampas membabitkan dua sindiket tersebut.

SHAH ALAM - Seramai lima lelaki dan seorang wanita disyaki terlibat dengan sindiket pengedaran dadah ditahan dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Kuala Langat dan Klang Selatan pada Isnin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah berkata, tangkapan membabitkan dua sindiket dalam dua kes berasingan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dalam kes pertama seramai tiga lelaki tempatan dan seorang lelaki Indonesia berusia 22 hingga 41 tahun ditahan dalam dua serbuan di sekitar Jenjarom.

"Pada 14 Februari sekitar jam 2 petang polis dari JSJN Selangor berjaya menangkap seorang lelaki (suspek pertama) di kawasan tempat letak kereta sebuah apartmen di Bandar Saujana Putra, Jenjarom dan merampas sekeping kad akses.

Iklan

"Dipandu arah suspek pertama, polis telah menyerbu sebuah unit apartmen di Bandar Saujana Putra dan menahan seorang lelaki tempatan dipercayai 'tukang masak' heroin serta seorang lelaki Indonesia bersama lapan peket dadah jenis heroin seberat 3,616 gram (g) dan dua peket plastik berisi syabu seberat 5,000g dianggarkan bernilai RM22,808 di premis tersebut," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, polis turut menahan seorang lagi lelaki tempatan di tepi jalan sekitar kawasan Banting yang dipercayai berperanan sebagai 'runner' kepada sindiket tersebut.

Iklan

Sementara itu, dalam kes kedua, sepasang suami isteri berusia 29 dan 33 tahun ditahan dalam serbuan ke atas sebuah kereta jenis Proton Wira di tepi jalan berhampiran sebuah pasar raya di kawasan Bukit Tinggi, Klang.

"Pemeriksaan dalam kereta telah menjumpai empat peket plastik lut sinar berisi bahan disyaki syabu anggaran berat 51.5g dan foil aluminium berisi 10 biji pil disyaki erimin 5 dianggarkan seberat 5.4g.

"Suspek pertama telah menunjukkan kepada polis sebuah Perodua Kancil di tempat letak kereta sebuah apartmen di Bandar Bestari, Klang dan menemui 12 peket plastik lut sinar berisi barang disyaki heroin anggaran berat 1,080g dan 250 unit aluminium foil berisi 7,500 biji pil disyaki erimin 5," katanya.

Ahmad Jefferi berkata, hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah dan dadah manakala isterinya dipercayai tiada pengetahuan berkenaan kegiatan suaminya itu.

Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan kedua-dua kes dianggarkan berjumlah RM521,263 membabitkan 8,795g dadah jenis heroin, syabu (1,131g), erimin 5 (7,510 biji) dan pil ekstasi (5,000g).

Katanya, kesemua suspek direman tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) bermula Selasa dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman mati.