Amanah tak campur isu kerusi PKR dan Muda

Iklan
Salahuddin (depan tiga dari kanan) bersama calon Amanah bagi PRN Johor yang diumumkan di sebuah hotel di Johor Bahru pada Jumaat.

JOHOR BAHRU- Parti Amanah Negara (Amanah) percaya isu melibatkan Parti Ikatan Demokratik Malaysia ( Muda) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung rundingan pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Negeri ( PRN) Johor dapat diselesaikan dengan baik.

Naib Presiden Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, semangat kerjasama dalam PH akan menjadi panduan kepada PKR dan Muda bagi mencari jalan penyelesaian sebelum tarikh penamaan calon pada 26 Febuari depan.

Iklan
Iklan

"Atas semangat PH, saya yakin Muda dan PKR dapat selesaikan rundingan pembahagian kerusi dengan baik. Pada pandangan saya biarlah PKR dan Muda selesaikannya bersama.

"Saya juga percaya apa juga isu yang berlaku dapat diselesaikan kerana banyak lagi masa sebelum tarikh penamaan calon PRN Johor," katanya pada Majlis Pengumuman Calon Amanah bagi PRN Johor di sebuah hotel di sini pada Jumaat.

Iklan

Hadir sama Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Presiden Amanah Johor, Aminolhuda Hassan.

Sebelum itu pada Jumaat, Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, rundingan kerjasama politik dengan PKR sedia untuk diteruskan meskipun parti itu mengumumkan 20 calon mereka akan bertanding pada PRN Johor kali ini.

Iklan

Sementara itu, Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Amanah menafikan dakwaan PH terlalu bergantung dengan DAP pada PRN Johor.

"Itu tuduhan lama, apabila kita bersama dalam PH itu juga tuduhannya. Namun kita yakin dengan kerjasama DAP ini ia berikan keberhasilan iaitu mencapai kemenangan di DUN dan Parlimen," katanya.

Salahuddin yang juga calon Amanah bagi kerusi DUN Simpang Jeram berkata, lapan calon muka baharu yang ditampilkan menjadi bukti Amanah sebuah parti yang releven, progresif dan mampu memikat pengundi.

"Daripada 16 calon yang diumumkan, lapan daripada mereka merupakan muka baharu gandingan orang muda dan senior. Saya yakin kombinasi calon yang diumumkan ini akan menarik perhatian pengundi.

"Selain itu, calon yang dipilih telah dibuat tapisan oleh parti termasuk di peringkat polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM) dan Jabatan Insolvensi," katanya.