SEREMBAN - Anak kepada wanita yang keretanya terbabas di kawasan Tanah Perkuburan Islam Forest Heights, Senawang pada Khamis memaafkan individu yang mencaci ibunya di laman Facebook.
Syafiq Sidek, 30, berkata, ini kerana keluarganya menganggap mereka tidak mengetahui punca kejadian.
"Kami ikhlas memaafkan individu terlibat dan kami sudah lalui saat yang sukar sebelum ini, jadi tidak mahu orang lain merasai apa yang kami rasa. Cukuplah.
"Justeru kami mohon jasa baik semua pihak termasuk warganet supaya berhenti menularkan gambar kejadian dan mencaci ibu kami," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Jelasnya, ketika ini ibunya masih dalam keadaan trauma dan bersedih selepas kehilangan suami akibat Covid-19 pada Ogos tahun lalu.
"Laporan polis berhubung kejadian sudah dibuat pada hari kejadian. Bagaimanapun, jika masih ada pihak yang menyebarkan fitnah kami akan teruskan siasatan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap pihak tersebut," katanya.
Sinar Harian pada Khamis melaporkan, seorang wanita warga emas yang memandu Perodua Myvi dan terbabas dalam kejadian di Tanah Perkuburan Islam Forest Heights dekat Senawang di sini, mengalami kekurangan gula dalam darah dan pitam sehingga gagal mengawal kenderaan dipandunya.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, wanita berusia 60 tahun berkenaan dikatakan baru sahaja selesai menziarahi kubur arwah suaminya di tanah perkuburan itu seorang diri.