Hasil Seni Dari Bahan Kitar Semula

Iklan
Memanfaatkan bahan kitar semula, dua beradik berkarya menerusi sehelai kanvas yang berilhamkan kisah penderitaan dan perjuangan seorang wanita melawan virus COVID-19 semasa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dipamerkan dalam koleksi Waste to Art Competition 2021 yang dianjurkan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) baru-baru ini.

Aqilah Syakirah Yusri, 18, (kiri) bersama adiknya Alisya Syuhaidah, 16, menggunakan sisa besi, plastik, botol, fabrik daripada bahan kitar semula seperti tetikus, plastik acuan kuih, kipas dan kotak untuk menghasilkan karya diberi nama ‘Strongest Women’ - COVID-19 is true! Never give up and keep strong.

Aqilah Syakirah berkata karya itu diinspirasikan daripada kisah ibu saudaranya yang dijangkiti COVID-19 dan bertarung di ICU Hospital Ampang namun meninggal dunia kemudian.

"Dari kisah itu, kami dapat idea untuk memaparkan bagaimana susahnya wanita yang dijangkiti COVID-19 berjuang bertahan hidup dan sembuh," katanya kepada Bernama.

Aqilah Syakirah berkata karya mereka mahu membawa mesej bahawa setiap orang yang dijangkiti COVID-19 masih mempunyai harapan untuk sembuh meskipun berada di ICU dengan memaparkan kekuatan seorang wanita yang berjuang dalam peperangan menetang COVID-19. - Foto Bernama